Anda mungkin tidak akan melihat Cristiano Ronaldo menubuhkan tembok penghadang pasukannya ketika berdepan sepakan percuma lawan selepas ini.

Kalau pun tidak begitu disedari sebelumnya, sudah sah kini pemain antarabangsa Portugal itu takut terkena bola sepakan percuma lawan yang pasti ada kalanya menyakitkan.

Terbaru, dilaporkan CR7 mungkin disisihkan daripada tembok Juventus ketika situasi sepakan percuma selepas kesilapan keduanya dalam tempoh enam minggu hampir sekali lagi merugikan juara Itali itu semalam.

Parma membuat kejutan dengan mendahului selepas 25 minit di Stadium Allianz bagi perlawanan Serie A itu apabila Gaston Brugman melencongkan sepakan percumanya melepasi tembok dan terus ke penjuru atas gawang tuan rumah.

Ulang tayang menunjukkan Ronaldo, 36, tidak pun melihat sepakan itu apabila menutup muka dengan tangannya sambil rakan-rakan sepasukan yang membina tembok itu melompat.



Adakah apa-apa yang menghairankan?

Barangkali ia sudah menjadi satu tabiat buat Ronaldo.

Pastinya ramai yang belum melupakan kesilapan serupa yang dilakukannya dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL) bulan lalu.

Dalam perlawanan peringkat kedua pusingan 16 menentang Porto itu, Sergio Olivera melepaskan sepakan percuma rendah di bawah tembok yang dibina lawan untuk terus menerjah jaring – gol yang kesudahannya menyaksikan The Old Lady terhumban keluar daripada saingan Eropah berkenaan.

Jelas daripada ulang tayang, Ronaldo selayaknya dipersalahkan kerana memusingkan belakangnya menghadap pemain lawan serta melompat untuk membenarkan bola melepasi di bawah kakinya untuk Porto meraikan jaringan.

Pengurus legenda Itali, Fabio Capello, ketika itu melabel kebaculan Ronaldo sebagai tidak boleh dimaafkan gara-gara keaiban kepada Porto itu.

Mengambil pengajaran daripada perlawanan dengan Parma itu, pengurus Juventus, Andrea Pirlo, mengakui kaptennya itu mungkin disihkan daripada tugas membina tembok selepas ini.



“Adalah sesuatu yang malang kerana perkara seperti ini berlaku,” kata Pirlo tatkala ditanya kurangnya keberanian Ronaldo dalam usaha untuk menampan sepakan percuma lawan.

“Tapi biarlah kami menilai semula peranannya ketika sepakan percuma (lawan) dalam masa beberapa hari berikut ini,” tambahnya seperti dilaporkan akhbar sensasi British, The Sun.

Namun, mujur buat Juventus yang mampu bangkit daripada kekecewaan awal itu untuk akhirnya menang 3-1 dan mengekalkan peluang tipis mereka untuk memenangi trofi Serie A buat musim ke-10 berturut-turut.

Dua gol daripada Alex Sandro dan satu daripada Matthijs de Ligt merapatkan jurang dengan Inter Milan di tangga teratas kepada 11 mata setelah barisan Nerazzurri kendalian Antonio Conte itu diikat 1-1 oleh Spezia di tempat lawan.

Dengan hanya berbaki enam perlawanan, Inter masih menjadi pilihan hangat untuk menamatkan penantian terhadap Scudetto sejak 2010 kerana selesa mendahului AC Milan di tangga kedua dengan kelebihan 10 mata.

Inter harus tidak kisah jika Ronaldo terus memejamkan mata, mengelak atau memusingkan badan ketika situasi sepakan percuma dalam baki saingan musim ini.