“Jangan bunuh saya pada hari pertama, anda boleh lakukannya pada hari kedua,” seloroh Morten Frost.

Kata-katanya itu, ketika beliau memulakan tugas hari pertamanya selaku Pengarah Teknikal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 1 Mac 2015 – tempoh keduanya dalam jawatan berkenaan selepas tempoh sulung dari 16 Februari 1997 hingga 22 Disember 1999 – harus tersirat penuh makna.

Ia menandakan kembalinya ‘Mr. Badminton’ untuk meneruskan tugas di Malaysia selepas 15 tahun, dengan tindakannya ‘angkat kaki’ dari negara ini dahulu diselubungi pelbagai misteri dan jauh daripada memuaskan.

Andai diputar waktu ke belakang, BAM di bawah kepemimpinan Datuk Dr. Abdullah Fadzil Che Wan ketika itu dan Frost sendiri enggan memberikan sebab-sebab mengenai pengumuman menggemparkan yang dibuat hanya menerusi satu kenyataan ringkas.

"BAM telah bersetuju menamatkan kontrak Morten Frost atas dasar persetujuan bersama," itu sahaja yang dapat dikatakan oleh Datuk Dr. Abdullah Fadzil pada waktu itu.

Frost, antara pemain terbaik dunia pada zamannya, turut menyimpan rahsia apabila berkata sebab beliau meletakkan jawatan adalah “urusan di antara beliau dan BAM”.

Bagaimanapun, menurut sumber, apabila jurulatih dari Denmark itu menerima jawatan berkenaan, turut dijanjikan ialah kebebasan buatnya memilih pemain untuk sesuatu kejohanan.

Dalam pada itu, seperti juga yang sering berlaku dalam sukan-sukan yang lain di Malaysia, berlaku campur tangan hingga menyebabkan Frost tidak dapat menerimanya lagi – mendorongnya meleraikan ikatan 15 bulan sebelum kontrak empat tahunnya berakhir.

Ketika itu, Datuk Lee Chong Wei baru hendak bertatih-tatih dalam badminton dan kebetulan pula Frost yang membawanya masuk ke akademi badminton di Taman Maluri, Cheras sebelum dia diserapkan ke skuad pelapis dan kemudiannya dalam skuad senior hinggalah dijulang selaku pemain nombor satu dunia.

Andai jarak masa 15 tahun dianggap Frost satu tempoh yang panjang, beliau harus tidak menyangka bahawa tidak banyak mentaliti yang telah berubah dalam BAM dalam tempoh berkenaan, dengan pemberontakan pemain bukanlah terlalu asing.

Cuma mujurlah krisis terbarunya dengan Chong Wei hanya berlarutan seminggu apabila pemangku presiden BAM, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid, mengumumkan ia sudah selesai selepas pertemuan berasingannya dengan kedua-dua individu terlibat.

“Dari segi prinsipnya, ia sudah selesai,” Al Amin dipetik sebagai berkata. “Chong Wei dan Frost akan meneruskan tugas masing-masing seperti biasa.

“Semua pihak terbabit telah berjanji untuk melaksanakan tugas masing-masing secara profesional (di sebalik) mereka tidak perlu menyukai satu sama lain. Situasinya tidak akan 100 peratus ideal tapi kami akan menghadapi keadaan seadanya.”

Kesudahannya, Chong Wei tidak menang pertarungan terbesar yang ingin sekali dimenanginya. Tapi, dia juga tidak kalah.

Déjà vu (sudah pernah melihat atau mengalaminya), Frost?