Sekolah, tuisyen, sesi sukan, kelas muzik, kelas menari dan banyak lagi.

Zaman persekolahan saya dulu, setiap kali cuti sekolah ada sahaja kejohanan skuasy Saya tidak ingat di mana saya pergi bercuti bersama keluarga. Jarang-jarang sekali.

Namun inilah pilihan kanak-kanak sekolah yang mendedikasikan masa mereka kepada sukan yang disayangi.

Bagi para pemain remaja skuasy, tumpuan kini adalah kepada Kejohanan Skuasy Remaja Antarabangsa Terbuka Kuala Lumpur yang bermula pada 1-6 Disember 2015.

Kejohanan yang disokong oleh penaja utama REDtone International Bhd (REDtone) ini melakar sejarah sebagai kejohanan remaja terbesar di Asia apabila berjaya mendapat 610 penyertaan dari 13 negara antaranya Singapura, Iran, Jepun, Indonesia, Hong Kong, Australia, Colombia, dan England.

Malaysia diwakili 518 pemain yang akan beraksi dalam kategori lelaki dan perempuan bawah 9,11 dan 13 tahun yang akan berlangsung di Kompleks Skuasy Jalan Duta dan bawah 15,17 dan 19 tahun di Kompleks Nasional Skuasy Bukit Jalil.

Ini menggambarkan terdapat ramai bakat muda di Malaysia mahupun di seluruh dunia. Mereka inilah yang akan menerajui sukan skuasy di peringkat antarabangsa dengan harapan sukan ini dipilih ke dalam Sukan Olimpik nanti.

Kejohanan-kejohanan di Malaysia terus diberi sokongan oleh para peserta kerana penganjur seperti Squash Racquets Association of Federal Territory (SRAFT) dengan kerjasama Squash Racquets Association of Malaysia (SRAM) sentiasa membuktikan kebolehan menganjur, pengalaman, penuh dedikasi, bekerjasama dan bersikap profesional dalam penganjuran.

Malaysia yang mewar-warkan supaya rakyatnya membudayakan sukan sudah pasti gembira melihat anak-anak Malaysia menghabiskan cuti persekolahan mereka bersukan.