Sukan Olimpik Athens 2004, Sukan Olimpik Beijing 2008, Sukan Olimpik London 2012 dan Sukan Olimpik Rio 2016 - kempunannya bukan sedikit tetapi 16 tahun. Satu tempoh yang cukup untuk membesarkan pemain hoki remaja negara jika dia lahir pada 2004.

Begitulah panjangnya penantian untuk meletakkan semula hoki negara di peta temasya sukan terbesar yang hanya diadakan setiap empat tahun. Berpuluh-puluh atau mungkin beratus-ratus pemain serta lapan jurulatih silih berganti sejak kali terakhir Malaysia beraksi dalam Sukan Olimpik Sydney pada 2000, namun tiada tanda-tanda pencarian itu akan berakhir.

Daripada lapan jurulatih, tiga daripadanya jurulatih asing, iaitu Paul Lissek, Paul Revington dan yang terkini, Roelant Oltmans, manakala bekas pemain kebangsaan turut menyandang jawatan itu, antaranya Stephen Van Huizen, yang pernah mengisi kerusi panas selaku ketua jurulatih sebanyak tiga kali dalam tempoh itu.

Masih lagi terkesan di hati penulis ketika bersorak sehingga hilang suara dalam final temasya Sukan Asia 2018 di Jakarta, Malaysia bertemu Jepun. Dengan berbekalkan bendera kebanggaan negara bersaiz kecil, penulis dengan rakan pengulas, Hafizal Hamad, berlari ke sana ke sini sambil bersorak tatkala skuad hoki negara sedang mendahului selesa 4-1.

Sudah terbayang di fikiran, skuad hoki negara berdiri megah dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020, di saat itu sudah bergenang air mata. Tetapi... saya tidak mahu meneruskan apa yang berlaku di Jakarta, ia sangat pedih untuk dikenang.

Memilih jalan sukar, Malaysia melalui pelbagai peringkat kelayakan bersama acuan baru kendalian Roelant Oltmans, yang genap setahun bersama hoki negara pada 1 Oktober lalu. Sangat sedikit peningkatan tetapi adil buat Oltmans dengan tempoh masa yang dimiliki.

Tiga kejohanan antarabangsa dilalui sepanjang tahun ini, iaitu Piala Sultan Azlan Shah, Kejohanan Empat Negara di Jepun dan Belanda selain 12 perlawanan persahabatan antarabangsa dalam Jelajah Eropah termasuk di Jerman dan Belgium. Ia dianggap pendedahan yang sangat agresif.

Cuma, terbit bimbang apabila tiada satu pun kemenangan diraih skuad hoki negara dalam enam perlawanan persahabatan terakhir, Emapt aksi berdepan Korea Selatan serta dua kekalahan kepada kelab kerdil di Belanda.

Yang menanti dalam perlawanan kelayakan terakhir ialah Great Britain, gabungan tiga negara (England, Scotland & Wales) yang tidak pernah tidak layak ke Sukan Olimpik sejak 1984 serta juara edisi 1988 di Seoul, Korea Selatan.

Perlukah kita bimbang? Tepuk dada, tanya mereka.

Jangan lupa aksi kelayakan Sukan Olimpik 2020, Malaysia berdepan Great Britain pada 2 dan 3 November 2019.

Apa yang kita harapkan, cukuplah empat Olimpik kita gagal!