Aksi terakhir peringkat kumpulan dalam saingan Piala Malaysia 2017 menyaksikan pasukan The Red Giants bakal beraksi menentang Johor Darul Takzim di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos.

Biarpun sacara matematiknya Selangor telah layak ke peringkat kalah mati, namun penulis melihat ada sesuatu yang perlu diselesaikan buat pasukan Selangor di Larkin.

Selain mahu memburu tempat selaku juara Kumpulan D, pengendali Selangor, P. Maniam sudah tentu mahu meleburkan kekebalan JDT di Larkin ke atas Selangor.

Empat tahun berlalu...itulah kali terakhir Selangor mencipta kemenangan ke atas Johor DT di Larkin dengan keputusan 2 – 1 dalam saingan Piala FA. Biarpun menyedari bukan mudah mahu menumbangkan skuad kendalian Ulisses Morais itu di Larkin, penulis percaya Selangor yang kini berada di prestasi terbaik mampu mencapai keputusan positif.

Di perlawanan pusingan awal peringkat kumpulan, Red Giant berjaya menumpaskan JDT di Selayang dengan keputusan 2- 1 hasil gol Amri Yahyah dan ketua pasukan, Razman Roslan pastinya mahu mengulangi pencapaian sama di tempat lawan.

Untuk rekod, Selangor yang telah pun menjuarai Piala Malaysia sebanyak 33 kali, kini di landasan yang tepat untuk “Misi 34” apabila mengutip 10 mata dalam kumpulan D mengenepikan cabaran Sarawak dan Terengganu. Dengan kesemua pemain bebas daripada kecederaan, P.Maniam tentunya amat berharap tonik kemenangan mampu dijelmakan anak-anak buahnya.

Dengan JDT turut berada di prestasi terbaik selepas beberapa pemain tonggak baru kembali selepas tugas bersama Harimau Malaya, penulis percaya pertembungan melibatkan kedua-dua gergasi ini tentunya akan berlangsung sengit dan menjadi perlawanan tumpuan ramai bagi saingan Piala Malaysia hujung minggu ini.