Tamat perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) hanya berjaya membawa bekalan satu kelebihan gol ke stadium keramat The Red Giants, sekali gus menjadikan kedua-dua pasukan masih berpeluang mengintai slot ke final.

Keputusan ini belum meletakkan skuad kendalian Benjamin Mora di zon selesa, malah perlu bekerja keras dalam aksi timbal balik saingan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Shah Alam, Sabtu depan.

Terdahulu, kenyataan “Kami belum bungkus” diluahkan Pengendali Selangor, B. Satianathan, selepas berjaya bangkit dalam aksi suku akhir kedua di laman sendiri yang menewaskan juara bertahan Piala Malaysia, Perak, meskipun lawan ketika itu bertandang dengan kelebihan satu gol.

Hasil satu gol di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, membuktikan Satianathan telah merancang dengan rapi daripada segi strategi serta corak permainan mereka dan anak buahnya juga tampak tenang menerima asakan daripada juara Liga Super enam edisi berturut-turut itu sambil masing-masing membalas serangan.

Bagaimanapun, ini merupakan peluang terakhir buat The Red Giants meraih sekurang-kurangnya satu piala pada musim ini yang akan menjadikan semangat dan aura berbeza daripada mereka ketika menerima kunjungan JDT nanti.

Tugas agak sukar buat skuad Harimau Selatan di aksi kedua dalam memastikan tempat ke pentas final Piala Malaysia 2019, saya yakin Mora akan memanfaatkan tempoh kurang dari seminggu ini bagi menyiapkan pasukannya untuk turun dengan lebih kukuh dan garang.

Mampukah JDT melakar kejayaan kedua pada tahun ini dengan mengembalikan Piala Malaysia yang pernah diraih dua tahun lalu?