Bagi menghadapi kempen 2019-2020, Zinedine Zidane telah berbelanja besar bagi memastikan pencapaian buruk musim lalu tidak diulangi.

Walaupun gagal mendapatkan bintang Manchester United, Paul Pogba, pengendali dari Perancis itu menerima dana berjumlah sekitar 300 juta Pound untuk meraih khidmat muka baru dalam skuad bimbingannya.

Antaranya, Eden Hazard hadir dari Chelsea menerusi perpindahan berjumlah 130 juta Pound sementara Luka Jovic, yang masih belum menemui jaringan selepas sembilan aksi La Liga, meninggalkan Eintracht Frankfurt selepas perjanjian bernilai 50 juta Pound dicapai.

Namun, Zidane seolah-olah memberi isyarat bahawa pasukannya belum lengkap selagi Pogba tidak menyarung jersi Los Blancos, atau sekurang-kurangnya mendapatkan pemain yang menuju penamat kontrak bersama Tottenham Hotspur pada penghujung musim ini, Christian Eriksen.

Lebih menguatkan spekulasi itu, Daily Mail melaporkan bahawa Eriksen telah memberi bayangan untuk keluar dari England selepas secara terbuka menyatakan keinginan mahu mencari cabaran baru setelah enam tahun berkelana di utara London.

Melihat kepada usia dua tonggak tengah Madrid ketika ini, Toni Kroos dan Luka Modric, yang memasuki umur 30 serta 34 tahun, semestinya Zidane mengharapkan pemain yang lebih muda bagi melengkapkan perancangannya bersama gergasi La Liga itu.

Bagaimanapun, presiden kelab, Florentino Perez, mahu Zidane menggunakan segala kudrat yang ada dalam pasukan ketika ini sambil memaklumkan legenda Perancis itu bahawa tiada sebarang perjanjian mega akan dilakukan ketika jendela perpindahan dibuka, Januari nanti.

Menurut AS.com, Zidane hanya akan diberi tambahan dana sekiranya berlaku sebarang masalah kecederaan panjang melibatkan mana-mana pemain, sambil dia perlu melihat kepada tenaga daripada skuad simpanan, Real Madrid Castilla.

Jadi, harapan peminat di Santiago Bernabeu untuk melihat kelibat Pogba atau Eriksen mungkin sudah boleh dilupakan, sekurang-kurangnya sehingga permulaan musim depan.

Dan buat Zidane, sudah tiba masa untuk dia menggunakan sepenuhnya barisan pemain yang ada tanpa memikirkan nama yang bukan menjadi milik Real Madrid.