Sudah satu dekad, kali terakhir pasukan gergasi dari England, Manchester United menjulang trofi liga Juara-juara Eropah dan kekalahan United baru-baru ini kepada pasukan Sevilla meiimbulkan beberapa tanda tanya terhadap pemain dan jurulatih mereka. Di mana silapnya? Taktik atau pemain?

Jika kita perhatikan formasi dan barisan pemain-pemain yang diturunkan oleh Jose Mourinho pada awalnya meyakinkan peminat untuk meletak harapan pasukan Red Devils akan menang selesa menentang Sevilla. Namun begitu, lawan mereka bukan calang-calang pasukan.

Biarpun United memenangi Liga Europa sebanyak 5 kali, namun mungkin terlalu yakin dengan kehebatan mereka di laman sendiri dan taktik digunakan oleh pengurus dari Portugal itu kelihatan tidak sesuai ketika beraksi di Old Trafford tempoh hari, menjadi antara punca kekalahan.

Alexis Sanchez sememangnya pemain baru dan juga berkebolehan, tetapi beliau masih belum serasi dengan corak permainan pasukan Red Devils. Di manakah Juan Mata dan Paul Pogba?

Barisan pemain yang diturunkan kekurangan kreativiti di bahagian serangan. Marcus Rashford dan Jesse Lingard, pemain tangkas dan berkebolehan untuk mengucar-kacirkan barisan pertahanan pihak lawan, namun mereka masih belum boleh memberi bantuan kepada Romelo Lukaku untuk menjaringkan gol.

Mungkin lebih menarik jika ManchesterUnited bermain dengan lebih risiko dan meletakkan pemain-pemain kreatif untuk memberi hantaran terakhir kepada Romelo Lukaku.

Tanggungjawab Nemanja Matic dan Marouane Fellaini hanyalah untuk menghalang dan mengganggu rentak permainan Sevilla dan memberi bantuan kepada barisan pertahanan.

Mengapa agaknya pengurus pasukan, Jose Mourinho menggunakan taktik defensif menentang Sevilla yang memiliki antara barisan pertahanan yang tercorot di La Liga?

Sedangkan United sepatutnya bermain secara "gung-ho" untuk mencari kemenangan lebih-lebih lagi setelah mengalahkan pasukan Chelsea and Liverpool dengan selesa pada minggu sebelumnya. Jose Mourinho menyatakan bahawa dia menurunkan Nemanja Matic dan Marouane Fellaini bagi mengatasi bahaya "set piece" dari pasukan Sevilla.

Biar segala persoalan bermain di minda penyokong, hakikat perlu diterima bahawa setakat ini sahaja perjuangan Manchester United di pentas Eropah. Cuba lagi tahun hadapan.

Untuk masa terdekat, diharapkan mereka dapat bangkit semula dari kekalahan yang mengecewakan ini untuk menentang Brighton & Hove Albion dalam saingan piala FA hujung minggu ini.