Terjawab sudah undian Sukan Asia 2018 dan perhatian pasti tertumpu kepada skuad bola sepak yang berada dalam Kumpulan E bersama-sama juara bertahan, Korea Selatan serta dua lagi pasukan, Kyrgyzstan dan Bahrain.

Bila melihat sepintas lalu, terdetik rasa skuad negara seolah-olah mendapat undian sukar kerana adanya Korea dan Bahrain di situ selain pasukan penuh misteri dari Asia Tengah, Kyrgyzstan .

Namun bila teringatkan kembali sejarah kejayaan skuad negara mara ke suku akhir kejohanan AFC Bawah 23 2018 di Kunshan, China ketika tiada siapa beri harapan tinggi, hati ini kembali berbunga.

Pada saat itu, pasukan negara berada dalam kumpulan lebih sukar kerana diletak dengan semua pasukan dari Timur Tengah seperti Iraq, Arab Saudi dan Jordan.

Jika kita mampu tundukkan Arab Saudi dan seri dengan Jordan, mengapa anak buah Datuk Ong Kim Swee perlu gentar kepada Bahrain yang gagal layak ke pusingan akhir?

Bahrain di kala ini nampak sedikit kemerosotan di pentas antarabangsa apabila pasukan senior mencatat beberapa keputusan yang kurang masuk akal pada tahun lalu seperti tewas 1-2 kepada Taiwan dan seri tanpa jaringan kepada negara jiran, Singapura.

Pencabar utama, Korea Selatan pula terpaksa menunggu minit KE-85 permainan untuk tewaskan Malaysia 2-1 di suku akhir, jadi skuad kita sebenarnya berpeluang kejutkan skuad pahlawan Taeguk ini.

Asas kebimbangan mungkin penyertaan tiga pemain senior dalam pasukan Korea yang boleh cetus impak berbeza kerana sememangnya kekuatan pasukan senior mereka antara terbaik di Asia.

Biarpun masih belum jelas adakah Kim Swee dapat membawa tunjang utama skuad Bawah 23 ke Bandung kali ini, sekurang-kurangnya apa terjadi di Kunshan mampu memercik rasa positif kepada sesiapa sahaja yang bakal pikul cabaran negara.

Jika kumpulan pemain yang sama seperti Safawi Rasid, Irfan Zakaria, Syazwan Andik, Nor Azam Azih, Adam Nor Azlin, Matthew Davies dan N.Thanabalan diberi lampu hijau majikan masing-masing, itu lebih mengujakan.

Selain Baddrol Bakhtiar, Kim Swee juga boleh memilih pemain senior yang mampu bertindak selaku ketua di atas padang dan contoh baik kepada pemain lebih junior.

Tanpa memandang rendah keupayaan Kyrgyzstan yang ada potensi jadi kuda hitam dalam saingan Kumpulan E, penulis dengan nada positif ramal pasukan negara mampu melangkah ke pusingan seterusnya selaku naib juara kumpulan tanpa perlu harap faktor tuah buru slot empat pasukan terbaik di tangga ketiga.

Ulangi detik kegembiraan menangi pingat gangsa pada tahun 1962 dan 1974 mungkin sukar tetapi penulis harap sekurang-kurangnya pasukan negara boleh melangkah sehingga suku akhir sekaligus memperbaiki pencapaian mara ke pusingan kedua pada 2010 di Guangzhou, China.