"Kalau abang nak main bola, pastikan abang boleh main macam Ronaldo. Kalau tak, tak payah main." Satu perbualan ringkas yang singgah sekali lalu di telingaku, namun cukup memberi kesan sehingga ke lubuk hati. Apa yang meninggalkan kesan ini adalah salah faham konsep yang diterapkan seorang bapa kepada anaknya itu.

Suri dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga membawa maksud "permaisuri" atau "bonda" kepada seorang raja. Teladan pula membawa maksud sesuatu perbuatan yang patut ditiru. Lalu apakah maksud "suri teladan" ini? Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, suri teladan atau "role model" membawa maksud sebuah contoh yang baik yang patut ditiru.

Kaitkan semula dengan isu di atas, kata-kata yang dilontarkan tersebut seakan terlalu mudah buat Ronaldo untuk mencapai segala yang dimilikinya kini. Apa yang sepatutnya disampaikan oleh seorang bapa kepada anaknya adalah bagaimana usaha keras mampu mengubah nasib seseorang walaupun dalam sukan bola sepak.

Jika kita singkap sejarah hidup Cristiano Ronaldo, dia bukanlah lahir dalam sebuah keluarga yang kaya. Bapanya, José Dinis Aveiro, seorang tukang kebun di bandar dan bekerja sambilan sebagai seorang ‘kit-man’ bagi pasukan CF Andorinha . Ibunya pula, Maria Dolores adalah seorang tukang masak. Namun galakan penuh yang diberikan daripada ibunya itu memberi semangat untuk Ronaldo menjadi seorang pemain bola sepak profesional sehingga kini. Galakan seperti ini yang diperlukan dalam masyarakat dalam mendidik minda anak-anak dalam apa jua bidang yang mereka minati.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa Ronaldo pernah juga menghidapi penyakit berkaitan jantung yang menghalangnya untuk bermain bola sepak ketika berusia 15 tahun. Dia kemudian menjalani rawatan pembedahan laser dalam menangani masalah tersebut. Apa yang menarik adalah dia kembali berlatih beberapa hari selepas pembedahan tersebut.



Alihkan sebentar isu ini kepada perbincangan yang lebih domestik. Bekas penyerang PKNP FC Shahrel Fikri juga pernah mengalami masalah yang sama (Jantung Berlubang) ketika di awal pembabitannya dalam bidang bola sepak sehingga menghalangnya daripada menyertai skuad Harimau Muda B ekoran gagal ujian kesihatan. Namun kini dia bukan sahaja memegang status sebagai penyerang terbaik negara (Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2017) malah dia kini satu-satunya pemain negara (Bukan Naturalisasi) yang berjaya menyertai pasukan di liga luar negara bersama Nakhon Ratchasima FC di Thailand.

Berbalik kepada isi pokok berkaitan Ronaldo, jelas galakan keluarga mampu menjadi pemangkin buat seorang anak dalam mengejar cita-cita. Ia jelas menjadi bukti nyata betapa dengan ‘berkat’ tersebut mampu menjadikan anak kepada seorang tukang kebun menjadi antara seorang pemain bola sepak terkaya di dunia. Impian seorang anak kecil tidak sepatutnya dimusnahkan oleh kata-kata negatif yang lahir daripada ‘iris’ seorang bapa. Bukankah lebih baik andai sikap tidak berputus asa dan usaha keras yang dilakukan Ronaldo dijadikan contoh ikutan agar dapat menjadi pedoman dan galakan buat anak kecil yang mengimpikan kerjaya khususnya dalam sukan bola sepak.

P.s : Ramai mahu bermain bola seperti Ronaldo, tapi tidak mahu ikut sikap rajin dan pemurah seperti yang dia ada.