Pandemik COVID-19 yang awalnya disangka semakin reda ternyata menyerang lagi.

Jadual perlawanan terganggu, pemain-pemain terkesan, kelab-kelab berkecamuk dan pengurusan pening kepala.

Menurut laporan akhbar Daily Mail, jumlah pemain yang terlibat dalam seluruh empat divisyen liga kini telah meningkat secara mendadak dalam tempoh dua minggu lalu akibat penyebaran varian Omicron.

Gara-gara varian ini jugalah, banyak kelab terpaksa beraksi dengan jumlah pemain yang minimum, seperti yang melanda Tottenham Hotspur minggu lalu.

Empat perlawanan yang telah dijadualkan juga terpaksa ditangguhkan.

Pengumuman tentang penangguhan perlawanan Manchester United menentang Brentford yang dilakukan pada lewat malam Isnin telah mengejutkan ramai pihak tetapi apa yang lebih penting, ia menimbulkan pertanyaan sejauh manakah penularan wabak ini dalam Liga Perdana sekarang?



Menurut laporan kerajaan British, varian Omicron telah menjangkiti sehingga 200,000 orang sehari.

Jika ini berterusan, ia tidak mengejutkan, malah mungkin dijangka bahawa penyokong terpaksa kembali menonton perlawanan menerusi televisyen sahaja.

Apa yang lebih membimbangkan, bagaimana agaknya impak varian ini terhadap pemain-pemain?

Dalam perkembangan terbaharu, kelab-kelab Liga Perdana Inggeris dilaporkan sedang mempertimbangkan sama ada mereka boleh memotong gaji pemain yang terpaksa menjalani kuarantin kendiri gara-gara enggan menerima vaksin.

Keengganan pemain-pemain profesional untuk menerima dua dos vaksin cukup merumitkan lagi keadaan buat banyak kelab dan nampaknya situasi yang semakin meruncing ini memerlukan tindakan tegas sebagai penyelesaian.

Bulan lalu, Bayern Munich dilaporkan enggan membayar gaji lima pemain bintang mereka mengikut setiap perlawanan atau sesi latihan yang mereka terlepas akibat menunjukkan keputusan positif dalam ujian COVID.

Antara nama yang disebut adalah Joshua Kimmich, Jamal Musiala dan Serge Gnabry, yang kesemuanya diketahui umum adalah antara yang enggan menerima vaksin.

Cukup menghairankan apakah yang terlintas dalam minda pemain-pemain yang seharusnya menjadi tokoh kepada peminat seantero dunia?

Tidakkah mereka terfikir bahawa kedegilan dan sikap mementingkan diri ini menimbulkan banyak masalah buat ramai pihak?

Data vaksinasi Liga Perdana Inggeris merupakan satu rahsia sulit, tetapi menurut data yang terakhir diterbitkan pada tanggal 19 Oktober lalu, cuma 68 peratus pemain dalam liga telah divaksinasi secara menyeluruh.

Biarpun pihak liga menegaskan yang jumlah peratusan ini semakin meningkat, keengganan mereka untuk mempamerkan data terkini menggambarkan bahawa masih ramai lagi pemain yang belum menerima dos suntikan sewajarnya.

Seharusnya kesemua pemain menjadikan Liverpool sebagai contoh jika mereka mahu mengelakkan pandemik ini daripada terus mencemarkan bola sepak.

99 peratus pemain dan barisan jurulatih Liverpool telah divaksinasi manakala kata-kata pengurus mereka, Jurgen Klopp, cukup benar: "Mereka yang enggan divaksinasi sama sahaja dengan pemandu mabuk - merisikokan nyawa orang lain akibat kebodohan mereka sendiri."