Hujan membasahi bumi Moscow selepas tamatnya perlawanan akhir dalam masa 90 minit di antara Perancis dan Croatia. Keputusan 4-2 memihak kepada Perancis menyaksikan persoalan siapakah yang bakal menjulang Piala Dunia Edisi 2018 terjawab.

Allez Les Bleus

Kempunan merangkul kejuaraan Euro 2016 apabila tumpas kepada Portugal dalam perlawanan akhir ternyata menjadi pemangkin semangat buat Hugo Lloris dan rakan-rakan untuk muncul juara Piala Dunia 2018. Lupakan jaringan pertama Perancis hasil sentuhan Mario Mandzukic, lupakan kesilapan Lloris untuk gol kedua Croatia dan lupakan insiden peminat memasuki padang di separuh masa kedua, apa yang lebih penting, logo Persatuan Bola Sepak Perancis kini bertambah lagi satu bintang sebagai tanda pernah memenangi Piala Dunia.

Individu paling gembira sudah tentu Didier Deschamps yang merupakan tunjang utama kejayaan Les Bleus. Beliau yang merupakan ketua pasukan sewaktu Perancis muncul juara pada 1998, sekali lagi mengulangi skrip sama tetapi kali ini sebagai jurulatih.

Paul Pogba

Bukan Eric Cantona, Roy Keane mahupun Wayne Rooney, tetapi Paul Pogba adalah pemain Manchester United pertama yang menjaringkan gol dalam perlawanan akhir Piala Dunia. Persembahan cemerlang yang dipamerkan dari peringkat kumpulan hingga ke final sudah tentu menjawab segala kritikan luar terutama dari jurulatih The Red Devils, Jose Mourinho. Bermain di posisi yang sama seperti di United, namun kelibat Pogba dilihat lebih berkesan bersama Perancis berbanding dengan pasukan kelab. Mungkin kehadiran N’golo Kante dan Antoine Griezmann banyak membantu persembahan baik beliau. Paling mencuri tumpuan Dayang mestilah kehadiran seluruh ahli keluarga Pogba yang turut melakukan gaya “dab” untuk diambil jurufoto selepas tamat perlawanan akhir.

Belgium

Jika ditanya siapa pasukan yang bakal mencabar Perancis dalam kejohanan Euro mahupun Piala Dunia, jawapan Dayang sudah tentu Belgium. Mereka kini berada di landasan paling tepat untuk meletakkan nama Belgium sebagai salah satu gergasi bola sepak dunia. Lihat sahaja senarai pemain dari penjaga gol hingga ke penyerang dan pemain simpanan, kesemuanya adalah pemain yang amat berkualiti. Mungkin faktor tiada tuah yang menyaksikan mereka tersingkir di peringkat separuh akhir. Namun harus diingat, Belgium pasti akan tampil garang di masa akan datang dan kegagalan ini akan dijadikan pembakar semangat kepada semua pemain.

Jorge Sampaoli

Dayang sememangnya menyokong pasukan Argentina tetapi tidak gemar dengan cara taktikal Jorge Sampaoli yang gagal diterjemahkan oleh pemain-pemain Argentina di atas padang. Akhirnya, selepas tersingkir pada pusingan 16 kepada Perancis, jodoh Sampaoli dan Persatuan Bola Sepak Argentina menemui titik noktah.Sampaoli dikhabarkan menerima pampasan atas sebab beliau diberhentikan dan bukan meletak jawatan. Siapa kah pengganti paling tepat untuk mengisi kekosongan jurulatih Argentina? Dayang pasti jurulatih baru itu mempunyai tugas berat untuk mengembalikan kegemilangan Argentina apatah lagi kelibat Lionel Messi mungkin tidak lagi kelihatan bersama skuad kebangsaan selepas ini.

Selamat Tinggal Piala Dunia Rusia 2018! Dan Nantikan Piala Dunia Qatar 2022!