Ia hari yang cukup memenatkan setelah seharian membanting tulang membuat liputan, meninjau dan menemu bual pemain bagi persiapan pasukan kebangsaan untuk saingan Piala Thomas dan Piala Uber, namun turut menjadi perisik tidak bertauliah dengan cuba mengintai latihan pasukan negara lain.

China pada awalnya agak keberatan untuk menerima kehadiran media pada hari pertama sesi latihan di gelanggang utama, bagaimanapun kami tetap teruskan merakam selagi tiada teguran rasmi dari pegawai pasukan berkenaan.

Itupun jurukamera, Saiful Azuan Mohd Kassim, sempat merakam 20 minit visual untuk bahan berita yang bakal disiarkan di Nadi Arena, dan kelibat pemain utama mereka, Shi Yuqi hanya muncul selepas itu.

Selepas selesai dengan segala tugasan, kami ambil keputusan untuk pulang, dan ternyata jodoh kami dengan pemain China kuat apabila berkongsi bas yang sama, termasuk sekumpulan pemain dari Kanada.

Yuqi duduk di depan kerusi saya, dengan jurulatihnya Xia Xuan Ze pula berada di sebelah menghadap tingkap. Mereka menginap di Hotel Scandic Mayor, tidak jauh dari tempat penginapan kami.

Hampir separuh perjalanan, pemandu bas berhenti di sebuah hotel untuk mengambil lagi penumpang, kali ini barisan pemain Jerman dan Perancis yang ingin menuju ke venue pertandingan bagi sesi latihan pertama mereka. Namun, yang menjadi masalah, bas sudah padat dan tiada pemain sedia ada dalam bas itu menginap di hotel berkenaan.

Barisan pemain Kanada ambil keputusan untuk mengalah dan dan turun dari bas, berjalan kaki sahaja memandangkan jarak lebih kurang 900 meter sahaja ke hotel. Saya dan jurukamera serta seorang rakan wartawan Malaysia ambil keputusan kekal dalam bas kerana kami membawa kelengkapan yang banyak, biarpun jarak agak dekat, namun untuk memikul semua barang ini pastinya memenatkan.

Tatkala saya sudah terbayang untuk masak nasi bersama lauk daging kicap buat santapan makan malam, perasaan itu terganggu ketika pemandu bas membelok ke arah jalan yang berbeza, laluan cukup asing kerana bukan menuju ke hotel saya, apatah lagi hotel pemain-pemain China. Xia Xuan Ze sudah mengomel kerana perjalanan sudah memakan masa yang lama, sambil mengarahkan seorang penterjemah pasukan mereka yang fasih berbahasa Inggeris untuk memberitahu pemandu bas berkenaan tentang destinasi asal.

Pemain-pemain lain ada juga yang mendengus tidak puas hati, namun dalam keadaan yang cukup tegang itu, tidak semena-mena salah seorang jurulatihnya menanyakan soalan ini "malam ini kita makan apa?" sehingga membuatkan sesetengah pemain terkedu. Saya cuba menahan gelak kerana tidak mahu jurulatih itu terasa.

Insiden membabitkan ketidak cekapan pemandu bas yang membawa delegasi badminton untuk saingan kali ini bukanlah yang pertama. Saya dan Saiful juga sudah "tersadai" selama dua jam pada waktu pagi biarpun jadual memaparkan bas pertama akan tiba 8.20 pagi sebaliknya hanya muncul pada 10.30 pagi, itu pun tiada papan tanda yang jelas menunjukkan bas itu merupakan bas rasmi untuk saingan Piala Thomas/Uber, hanya pemandu memegang kertas kadbod setelah lihat saya berlari ke arahnya.

Berbalik ke cerita dalam bas, saya seperti tidak sangka dapat menaiki satu bas dengan Shi Yuqi, pemain harapan untuk skuad perseorangan lelaki China setelah ketiadaan Chen Long dalam pasukan. Kali pertama saya bertemunya adalah pada 2017 di Birmingham, dengan Datuk Lee Chong Wei ketika itu memenangi Kejuaraan Seluruh England yang keempat dan terakhir dalam kariernya sebelum umumkan persaraan dua tahun kemudian. Niat di hati ingin berborak dengan Yuqi, namun melihatkan dia seperti penat, hanya melelapkan mata sambil mendengar lagu dari fon kepala, saya batalkan hasrat itu.

Selepas hampir 1 jam, semua selamat pulang ke destinasi, begitu juga kami. Dalam hati saya berkata, rupanya bas di Denmark sama juga dengan di Malaysia, hehe!