Brazil akan mencari peluang untuk meneruskan rekod tanpa kalah kepada 11 perlawanan ketika bertemu Ecuador sebelum menamatkan saingan Kumpulan B, awal pagi esok.

Skuad kendalian Tite memulakan kejohanan dengan cemerlang, mengatasi Colombia, Peru dan Venezuela bagi memperoleh tempat dalam suku akhir sebelum aksi terakhir dalam peringkat kumpulan.

Mereka telah menjaringkan sembilan dalam iga perlawanan dan dibolosi sekali.

Dengan slot ke peringkat kalah mati sudah terjamin, Tite mungkin akan merombak pasukan bagi memastikan tiada pemain berdepan masalah kecederaan.

Penyerang Liverpool Roberto Firmino, terutamanya, berharap untuk diturunkan dalam kesebelasan utama selepas hadir dalam separuh masa kedua ketika meledak jaringan penyamaan ke atas Colombia, manakala pemain Real Madrid, Vinicius Junior, bakal berharap untuk memperbaiki minit permainan dalam perlawanan berikutnya.

Ecuador pula memerlukan kemenangan untuk mara ke suku akhir, walaupun mereka akan mara jika Venezuela tewas kepada Peru.

Bermula dengan kekalahan 1-0 kepada Colombia sebelum meraih dua keputusan seri berturut-turut apabila bertemu Venezuela dan Peru.

Mereka bergelut apabila bertemu Brazil, dengan kemenangan terakhir mereka diperoleh dalam aksi kelayakan Piala Dunia Amerika Selatan pada tahun 2006.