Apakah bos Chelsea, Antonio Conte, akan menjadi mangsa terbaru ‘sumpahan’ Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk dipecat?

Persoalan itu dengan lantang dilontarkan oleh akhbar UK, The Sun, dengan andaian Conte berkemungkinan mengikut jejak Jose Mourinho dan Claudio Ranieri – dua pengurus yang dipecat pada musim selepas mereka mengemudi pasukan masing-masing menjuarai liga.

Kebarangkalian itu mula diutarakan selepas Conte mengalami tiga kekalahan daripada lapan perlawanan pertama, dengan kemenangan terbaru – 4-2 ke atas Watford, Sabtu lalu – diandaikan hanya sebagai kelegaan sementara.

Chelsea sebelumnya tewas 2-3 kepada Burnley, 0-1 kepada Manchester City dan 1-2 kepada Crystal Palace hingga kemampuannya untuk mempertahankan gelaran dipersoalkan sambil meletakkan Conte benar-benar di bawah tekanan.

Ketinggalan 1-2 kepada Watford di Stamford Bridge pada satu ketika, Conte, bagaimanapun, mampu menghela nafas lega apabila bangkit dengan dua gol pemain gantian, Michy Batshuayi, selain gol Cezar Azpilicueta untuk kesudahannya menang 4-2 dalam tempoh 19 minit terakhir.

Sepanjang dua musim lalu, pengurus kelab juara ditunjukkan jalan keluar hanya beberapa bulan selepas menjulang trofi dan segala tumpuan musim ini terarah kepada Conte – dengan Chelsea kini di tangga keempat, dengan 16 mata selepas sembilan perlawanan, sembilan mata di belakang pendahulu, Manchester City.

Kepada kebarangkalian itu, Conte mendakwa tidak takutkan pemecatan kerana percaya dia dinilai dengan cara berbeza berbanding pengurus terdahulu di Stamford Bridge.

Conte memenangi kejuaraan liga pada musim pertama dia mengemudi The Blues tetapi cabaran mereka untuk mempertahankan gelaran jauh daripada memberangsangkan, dengan hanya lima kemenangan setakat ini.

Diajukan kemungkinan dipecat – sama seperti Mourinho sebelumnya – pengurus berbangsa Itali itu menegaskan dia tidak sama sambil menegaskan kepercayaan bahawa lembaga pengarah Chelsea tidak akan memecat setiap pengurus selepas satu rentetan kurang mempesonakan.

“Saya bukan seperti pengurus-pengurus sebelum saya. Saya berbeza, nyata berbeza. Adalah penting untuk memahami perkara ini.

“Kelab harus menilai segala kerja saya, dan secara jujur, saya tidak mempunyai kebimbangan seperti itu jika saya kalah perlawanan dan kelab akan memutuskan untuk memecat saya.”

Ditekan kenapa dia berasakan dirinya berbeza, Conte menjelaskan: “Hanya kerana pada masa lalu, kelab memutuskan untuk memecat pengurus selepas dua kekalahan atau tiga perlawanan tidak meyakinkan.

“Saya tidak fikir ia sama buat setiap pengurus. Anda tukar pengurus, anda juga tukar segala kerja yang sudah dilakukannya. Jika anda tanya jika saya ada berasa tekanan seumpamanya daripada kelab ini, jawapan saya tidak sama-sekali.

“Secara jujur, saya langsung tidak bimbang, dan saya berlaku jujur. Sesiapa yang mengenali saya tahu ini adalah perkara terakhir dalam fikiran saya.

“Saya percaya kepada hasil kerja saya. Saya memberikan segala-galanya di dalam kerja saya bersama pemain-pemain saya. Saya tidak berasa sebarang tekanan seperti yang digembar-gemburkan.

“Saya juga rasa hubungan saya dengan penyokong adalah menakjubkan. Mereka sentiasa di belakang saya daripada perlawanan pertama saya lagi.

“Jadi, satu-satunya tekanan adalah untuk membalas kepercayaan mereka. Mereka sering bersorak nama saya dan itu saja tekanan yang saya rasakan. Saya dan pemain-pemain saya sentiasa mahu memberikan penyokong kepuasan.”

Bezanya, Ronald Koeman, Craig Shakespeare dan Frank De Boer – tiga jurulatih dalam EPL yang sudah dipecat musim ini – semuanya berasa yang sama tapi lihatlah di mana mereka kini.
Andai Conte kekal sehingga akhir musim, maka benarlah dia berbeza.