Atlet olahraga berusia 17 tahun didapati positif bahan terlarang pada Ogos tahun lalu.

Kes doping masih berterusan walaupun banyak inisiatif yang dilakukan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS).

Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) telah memanggil atlet dan jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim (Coach Poad), untuk membela diri.

Coach Poad telah memberikan keterangan sejujurnya dan tidak mungkin reputasinya sebagai jurulatih berpengalaman dan dihormati serta melahirkan atlet pecut terbaik di rantau ASEAN, antaranya pemenang pingat emas 100 meter Sukan SEA 2017, Khairul Hafiz Jantan, mahu diranapkan dengan bahan terlarang.

"Saya mahu pengadilan yang sewajarnya untuk membersihkan nama saya yang tercalar," kata jurulatih itu.

Jika didapati bersalah dalam keputusan yang akan dikeluarkan minggu depan, atlet yang masih bersekolah itu akan terkeluar daripada arena olahraga selama 4 tahun.

Naluri seorang jurulatih dan ayah membuatkan Coach Poad menyeru kepada pihak yang membuat keputusan untuk melihat daripada setiap sudut sebelum memberikan hukuman terlalu drastik yang akan memusnahkan karier atlet muda itu.

Atlet lelaki yang beraksi dalam acara 4x100m di Kejohanan Tertutup, Ogos lali didapati positif menggunakan bahan terlarang iaitu methasterone dan oxymetholone, sejenis steroid androgenik anabolik.

Coach Poad terpaksa menghadapi cemuhan pengkritik tetapi ramai juga percaya tugas jurulatih tidak mudah dan cabaran sebegini harus ditangani secara profesional.

Pada masa yang sama, Pengarah Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) ISN, Wan Norafzan Binti Wan Mahadi, dan Pengerusi Penasihat AKK ISN, Datuk Marina Chin, memberi pandangan antara inisiatif yang akan terus diberikan fokus adalah memberikan pendedahan kepada atlet dan jurulatih tentang isu doping melalui seminar dan kursus sains sukan dan kejurulatihan AKK.