Formasi pasukan yang seringkali berubah-ubah serta peranan penting Ilkay Gundogan dan Kevin De Bruyne adalah dua faktor utama kejayaan Manchester City.

Semalam, City menewaskan Borussia Monchengladbach dengan agregat 4-0 dalam pusingan suku akhir Liga Juara-Juara, satu lagi contoh persembahan taktikal mengagumkan daripada pengurus, Pep Guardiola.

Diberikan barisan pemain berbakat besar dalam jumlah yang ramai, Guardiola ternyata berjaya mempamerkan kepelbagaian dalam formasi pasukan yang diturunkan setiap minggu -- satu strategi bijak untuk mengelirukan pihak lawan serta menjadikan pasukannya sukar untuk diramalkan.

Buat mana-mana pasukan, persiapan rapi sememangnya haruslah dilakukan sebelum menghadapi pihak lawan, tidak kira dalam liga negara ataupun liga Eropah.

Persoalannya, bagaimanakah pasukan lain hendak membuat persediaan secukupnya bagi menangani City yang bukan sahaja dilengkapi barisan pemain bintang, malah corak permainan yang berubah-ubah dalam setiap perlawanan?

Satu pasukan mungkin akan membuat persediaan bagi menghadapi Raheem Sterling di bahagian serangan tetapi pada hari perlawanan, Bernardo Silva pula yang diturunkan.

Begitu juga ceritanya dengan pasukan yang membuat persiapan untuk menangani Gabriel Jesus tetapi Sergio Aguero pula yang rupa-rupanya harus dihadapi.

Apa pula yang bakal terjadi apabila satu pasukan berhadapan dengan City yang langsung tidak bermain menurut formasi yang diturunkan?

Jika ditanya kepada Borussia Monchengladbach, jawapannya adalah mereka kalah teruk.

Sewaktu menentang wakil Jerman itu, Guardiola mengatur pemainnya dalam formasi 4-2-3-1 dengan Bernado Silva dijadikan pemain di barisan paling hadapan, sesuatu yang digelar sebagai ‘False 9’.

Namun apabila perlawanan bermula, City kelihatan seperti seolah-olah bermain dalam formasi 3-6-1 pula kerana pemain mereka berubah-ubah posisi setiap waktu.

Perubahan yang dilakukan juga cukup licin dan teratur bagaikan air yang mengalir, hasil kendalian dan pengawasan daripada Gundogan serta De Bruyne yang berpaksi di bahagian pusat formasi City.





Untuk 10 minit pertama, De Bruyne dan Bernardo Silva saling berganti kedudukan.

Kadangkala De Bruyne di hadapan, kadangkala Silva yang menerajui serangan, kadangkala mereka seiringan lalu membentuk formasi 4-4-2 bersama-sama rakan sepasukan yang lain, begitulah betapa lancarnya formasi City berubah.

City nampaknya menjadikan pemain pertahanan, Joao Cancelo, sebagai pemain yang bertugas untuk memulakan serangan, maka dia dibenarkan untuk beralih ke bahagian tengah-tengah padang setiap kali City mendapat bola.

Ini membolehkan Gundogan untuk bergerak dengan lebih bebas ke bahagian atas bagi tujuan menyerang dan ternyata pergerakannya itu menyumbang kepada salah satu gol City.

Kawalan utuh pasukan di bahagian tengah membolehkan City memenangi semula bola sebelum pihak lawan dapat menguji bahagian pertahanan, dan kini City sudah berjaya mempertahankan gawang mereka selama lebih kurang 700 minit lamanya.





Berdasarkan prestasi City sekarang, rasanya sia-sia sahaja jika mana-mana pasukan lawan cuba untuk membuat perancangan rapi dalam usaha untuk mengekang mereka.

Tidak kira serapi mana pun taktik yang digunakan, Guardiola pastinya mempunyai ‘muslihat’ tersendiri dalam mengatur semula pasukannya sepanjang perjalanan mereka untuk membolot segala kejuaraan musim ini.