Hanya pertengahan minggu lalu, Jurgen Klopp melaungkan pendahulu, Manchester City, bukanlah kebimbangan utamanya dalam perebutan kejuaraan liga.

Jauh daripada bersifat bongkak, pengurus Liverpool itu turut berkias yang pasukannya tidak boleh diumpamakan seperti Harlem Globetrotters – pasukan bintang-bintang bola keranjang yang dipertemukan lawan mudah dengan tujuan menghiburkan dalam aksi pertunjukan semata-mata.

Dalam pada menyedari saingan dalam EPL mampu dihadirkan pasukan lawan yang dianggap kerdil sekalipun, Klopp turut melaungkan barisan pemainnnya kini – dengan pertambahan Luis Diaz – adalah yang terbaik pernah dimiliki dalam kerjaya kejurulatihannya.

“Anda perlu berlawan dan bukan memikirkan betapa bagusnya kami boleh jadi. Kami bukannya Harlem Globetrotters. Terdapat banyak pasukan di luar sana yang kami perlu bersaing,” katanya minggu lalu.

Barangkali tidak terduga olehnya, rentetan 17 perlawanan tanpa kalah Manchester City akhirnya lebur dengan kekalahan 2-3 di tangan Tottenham Hotspur di Etihad.

Ia sekali gus memberikan peluang kepada Liverpool yang berada di tangga kedua dengan 57 mata serta berkelebihan satu perlawanan dalam tangan, untuk mengejar dan memberikan cabaran dalam perebutan juara liga.

Liverpool turut bakal berkunjung ke Stadium Etihad pada tanggal 9 April ini, dalam satu perlawanan yang pastinya dinantikan-nantikan oleh semua.

Kini, apa yang pasti, takhta juara liga masih belum pasti pemiliknya.

Di sebalik kekalahan pasukannya, pengurus City, Pep Guardiola, dilihat masih kekal tenang dan positif sewaktu ditemu bual: "Sejujurnya, saya berasakan yang kami bermain dengan baik. Saya tidak pernah sesekali berkata yang perlumbaan untuk merebut takhta juara sudah berakhir. "

"Sejak berminggu-minggu lalu, saya mengingatkan pasukan saya bahawa kesemua pasukan lain akan berjuang bermati-matian pada bulan Januari dan Februari dan ini akan mendatangkan satu cabaran besar buat kami."

Sambung Guardiola kepada BBC: "Saya harus berikan pujian kepada Spurs. Setiap kali selepas mereka menjaringkan gol, mereka bertahan dengan formasi yang cukup ketat dan padat. Ini menjadikan keadaan cukup sukar buat kami.

"Dalam masa yang sama, mereka tidak henti-henti mencari ruang untuk mencipta serangan balas dengan menggunakan kepantasan Son Heung-Min dan Dejan Kulusevski, digabungkan dengan kawalan bola yang cukup baik daripada Harry Kane."

Kemenangan yang cukup menggembirakan buat Spurs ini ternyata membakar semangat pengurus mereka, Antonio Conte.

"Satu perlawanan yang cukup emosional dan mengujakan. Sememangnya kami bermain dengan baik dan mematuhi strategi yang ditetapkan.

"Kami tahu City mampu untuk menguasai perlawanan buat tempoh yang lama, mungkin selama 60-70 minit sekalipun, jadi kami memutuskan untuk fokus bertahan dengan kukuh.

"Bukan mudah untuk berhadapan dengan Manchester City selepas kami tewas tiga kali berturut-turut.

"Saya cukup bencikan kekalahan, tetapi saya tahu Liga Perdana Inggeris ini bukanlah satu liga yang mudah.

"Kemenangan hari ini memberikan kami keyakinan, tetapi satu kemenangan sahaja tidak mencukupi, perjalanan kami masih jauh lagi. "



Impak kendalian Conte ternyata cukup dirasakan oleh salah seorang pemain baru mereka, Kulusevski, yang dipinjam dari Juventus: "Saya cukup menderita sepanjang beberapa bulan lalu (sewaktu bersama Juventus).

"Aksi sulung saya dalam menjadi pemain kesebelasan utama (Spurs) cukup menggembirakan dan sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

"Saya tahu yang pengurus kami mendambakan kemenangan melebihi segala-galanya. Disebabkan itu, kami bekerja sekeras-kerasnya."

Kesimpulannya, tiada pasukan yang akan disajikan lawan mudah dalam EPL seperti dinikmati Harlem Globetrotters kerana itu hanyalah pertunjukan.

Guardiola dikerah akur dengan hakikat itu, Conte tidak akan putus berharap sambil Klopp sentiasa mencari ruang dan peluang untuk memanfaatkannya.