Manchester City mengesahkan status kelab paling berjaya di England bagi tahun 2019 selepas menjuarai saingan Perisai Komuniti di Wembley, baru-baru ini.

Kemenangan ke atas Liverpool menerusi penentuan sepakan penalti juga bermakna anak buah Pep Guardiola telah memenangi saingan tersebut sebanyak enam kali dalam sejarah dan dua kali berturut-turut selepas mengatasi Chelsea tahun lalu.

Jelas sekali tanpa aksi ayam tambatan, Sergio Aguero dan Fernandinho, The Citizens masih mampu mempamerkan persembahan memukau sehingga menafikan lawan yang menurunkan pemain utama seperti Firmino, Mohamed Salah, Alisson dan Virgil Van Dijk.

Menjelang saingan liga yang bakal bermula hujung minggu ini, City kini meraih pembakar semangat bermakna untuk memulakan kempen mempertahankan gelaran yang dimenangi musim lalu.

Buat The Reds, Jurgen Klopp mungkin mula memikirkan kebolehan sebenar pemain dari bangku simpanan selepas Divock Origi dan Naby Keita gagal membantu skuad kendaliannya mengatasi City di Wembley.

Tanpa Sadio Mane yang masih berehat selepas melalui saingan Piala Negara-Negara Afrika, Liverpool dilihat buntu untuk merobek benteng City terutamanya ketika separuh masa pertama sehingga terpaksa menunggu gol dari Joel Matip.

Justeru, naib juara Liga Inggeris itu kini berdepan tugas getir untuk menamatkan penantian kejuaraan liga dan tidak mahu terus kempunan selama 30 tahun.

Penulis tidak sabar menyaksikan kembalinya semula kemeriahan bola sepak di England dan pada masa sama berdebar menantikan sama ada City mampu mempertahankan kejuaraan liga atau tidak.