Benarlah satu kiasan kita tidak menyedari nilai sesuatu yang kita miliki sehinggalah kita kehilangannya.

Minggu sudahpun berganjak sejak pengunduran Datuk Lee Chong Wei yang mengumumkan persaraannya dalam satu sidang media khas Khamis lalu tapi ramai yang nampaknya masih berat hati untuk melepaskannya pergi.

Laman-laman web sukan antarabangsa, khususnya badminton, daripada yang berpangkalan di London hinggalah ke India, masih terus memuat naik pelbagai rencana khas yang merakamkan sanjungan dan penghormatan terhadapnya.

Pelantar media sosial terbesar di China, Weibo, dengan 445 juta pengguna aktif bulanan seperti yang didedahkan pada suku ketiga 2008, tidak putus-putus memuatkan pelbagai komen peminat berdasarkan sejarah panjang perseteruan Chong Wei dengan idola mereka sendiri, Lin Dan.

Tiada kurangnya di tanah air sendiri apabila setiap berita berkaitan dengannya pasca persaraannya, mengundang ratusan komen yang sekadar menyerlahkan betapa kecemerlangannya akan terus dirindui – apatah lagi jika pemain-pemain yang mewarisi tempatnya dalam pasukan kebangsaan kecundang dalam pelbagai kejohanan selepas ini.

Bayangkan, ada peminat yang menganggap paparan Chong Wei ketika mengumumkan persaraan di antara esak-tangis di Menara KBS, Putrajaya minggu lalu, hanyalah satu mimpi buruk yang bukanpun satu realiti.

Namun, tiada apa-apa yang dapat mengubah hakikat bahawa Chong Wei benar-benar sudah bersara demi kesihatan dan kelangsungan hidupnya selepas bertarung dengan kanser.

Apa yang penting ketika ini hanyalah kejayaan yang diwariskannya serta disiplin dan kesungguhannya selaku seorang suri teladan.

Menyorot kata-kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, yang turut meluahkan kesedihannya apabila kehilangan seorang atlet yang berpotensi tinggi dalam menyumbang pingat buat negara dalam setiap kejohanan berprestij, tambahan pula dengan sikap rendah dirinya meskipun sudah dikenali dunia:

"Dia seorang atlet yang rendah diri. Kalau nak suarakan apa-apa, dia akan lakukannya dengan cara berhemah dan mengamalkan sikap terpuji dalam menyelesaikan sebarang masalah melibatkan program latihan dan sebagainya."

Musuh ketatnya di dalam gelanggang, Lin Dan, turut mendedikasikan sebuah lagu Mandarin ‘Peng You Bie Ku’ (Jangan menangis, sahabatku) sebagai ucapan selamat bersara kepada Chong Wei.

Apa yang saya kagum adalah seorang pemain bertaraf dunia, pemenang pingat perak Sukan Olimpik pada 2008, 2012 dan 2016, di samping bergelar pemain nombor satu dunia selama enam tahun, bagaimanapun, masih mempunyai sikap rendah diri dan menghormati orang lain.

Keluhuran budi pekertinya, malah, diserlahkan lagi oleh permohonan maafnya kepada rakyat Malaysia gara-gara ketidakupayaannya menyumbangkan pingat emas Olimpik di samping penghargaan terima kasih kerana menyokongnya selama ini.

Sikap seperti ini perlu dicontohi oleh atlet-atlet muda ketika ini supaya tidak senang ‘besar kepala’ apabila sudah mencapai sesuatu kejayaan, apatah lagi ketika ini pula banyak kontroversi yang membabitkan atlet yang mempunyai sikap ‘diva’.

Sesuatu kejayaan akan datang apabila kita pandai menghormati orang -- tidak kira tua mahupun muda, kaya atau miskin -- dan perlu rasa disenangi oleh semua orang agar kemudian semuanya akan dipermudahkan.

Terlalu banyak pengajaran dan contoh teladan yang ditinggalkan Chong Wei hingga ramai yang terus terbuai-buai dengan anggapan bahawa persaraannya cuma sebabak daripada filem biopiknya, “Rise of the Legend”.