Jelas sekali, ada aura berbeza di antara Datuk Lee Chong Wei dan seteru abadinya, Lin Dan, dalam menabalkan juara Kejohanan Seluruh England 2017.

Kedua-duanya tampil di Barclaycard Arena, Birmingham dengan laluan berbeza – Lin Dan selaku juara enam kali selain juara menanti sambil Chong Wei mahu menjilat luka kekalahan pusingan pertama tahun lalu – tunduk straight set 24-22, 22-20 kepada B Sai Praneeth dari India.

“Saya tidak percaya saya tewas pusingan pertama,” kata Chong Wei ketika itu, yang membuat penampilan semula sejak 2014 selaku pilihan kedua kejohanan, yang menjadi sebahagian persiapannya ke Sukan Olimpik Rio 2016.

Dalam pada itu, kesudahan Ahad lalu turut berlawanan sekali, dengan Chong Wei memanjat podium juara hasil kemenangan amat rakus ke atas Shi Yuqi 21-12, 21-10 dalam masa 44 minit – dikira sekali dengan rawatan tujuh minit ke atas jaguh muda China itu pada kedudukan 10-18 dalam set kedua.

Lin Dan pula sekadar penonton setelah dia rebah 24-22, 21-11 kepada Yuqi dalam separuh akhir sehari sebelumnya hingga mendorong pemerhati badminton antarabangsa merumuskan ia adalah isyarat kepada pengakhiran tempoh kekuasaannya selaku pemain terhebat sepanjang zaman.

Bukan sekadar menambah kejuaraan keempat Seluruh England kepada biodata panjangnya, malah Chong Wei, 34 tahun, berikrar untuk kembali tahun depan – jawapan paling bingit terhadap mereka yang ternanti-nantikan persaraannya.

Pendek kata, kita belum menyaksikan yang terakhir daripada Chong Wei di sebalik dia sebelum ini menyasarkan Kejohanan Dunia di Glasgow 21-27 Ogos depan untuk melabuhkan tirai kariernya.

Berbalik kepada Lin Dan, laman www.firstpost.com mempersoalkan apakah dia sudah mula berasakan beban berat di sebalik usia 33 tahunnya untuk terus mengarak panji-panji China dalam kejohanan badminton utama dunia?

Super Dan, seperti pengamatan laman itu, kelihatan tercungap-cungap dalam set keduanya berdepan Yuqi – 12 tahun lebih junior – di samping kehilangan percikan api yang selama ini membolehkannya bangkit menghambat dan kesudahannya unggul daripada kedudukan hampir mustahil.

Atau, seperti dipercayai ramai yang berkiblat teori konspirasi, Lin Dan diarah ‘ketuanan’ badminton negaranya untuk memberi kemenangan kepada Yuqi supaya jaguh masa depan China itu dapat menyelami suasana sebenar final satu acara Siri Super Premier untuk bekalannya sebagai pewaris cabaran.

Ketuanan badminton China didakwa sudah kerap bermain “Russian Roulette” dengan karier Lin Dan sebelum ini, dengan dia juga dikatakan pernah dianggap ‘pariah’ di negaranya sendiri gara-gara ada kalanya enggan tunduk kepada kehendak mereka.

Chong Wei sendiri harus hampir kepada keadaan itu jika sengketa peribadinya dengan Pengarah Teknikal, Morten Frost, mahu diandaikan demikian – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terpaksa mewujudkan skuad projek khas untuk memisahkan mereka.

Tidak hairanlah kita menyaksikan Chong Wei yang teramat rakus dan tiada belas ihsan – dia keciciran hanya satu set dalam perjalanannya untuk dinobatkan juara Seluruh England kali keempat daripada sejumlah 13 penyertaannya dalam kejohanan tertua itu.

Apakah sebenarnya di sebalik aura terbaru Chong Wei?

Barangkali balutan di lutut kirinya – dia hanya disahkan penyertaannya di Birmingham sembilan hari sebelum kejohanan bermula – menjadi ingatan dan pembakar semangat untuknya memilih haluan takdirnya sendiri berbanding didesak sesiapa yang lain.

Kalau pun ada sebarang indikasi daripada kecederaan lututnya itu yang dialami dalam latihan di Akademi Badminton Malaysia, 4 Februari lalu, ia hanyalah daripada pita kinesiologi dan balutan luaran sedangkan pergerakannya langsung tidak kelihatan terjejas di dalam gelanggang.

Malah, sepanjang kejohanan itu, Chong Wei pintar menggunakan kombinasi satu-dua seperti dalam pertarungan tinju – menghantar bulu tangkis ke sudut curam atau separa smash untuk memancing pukulan balas lemah dan kemudian menyusulinya dengan smash pada kelajuan 330-350 km/j. Yuqi sendiri mati langkah lantarannya.

Barangkali boleh disimpulkan, Chong Wei yang amarah adalah Chong Wei yang lebih berbahaya sambil dia memberikan pesanan lantang bahawa hanya dia yang berhak menentukan tarikh persaraannya.

Kalau pun terus kempunan pingat emas Olimpik dan pingat kejuaraan Kejohanan Dunia, sekurang-kurangnya Wikipedia akan memuatkan fakta bahawa Lee Chong Wei (pemain badminton Malaysia) adalah pemilik 12 kejuaraan Siri Super Premier, 28 kejuaraan Siri Super Dunia BWF – sekali ganda mengatasi Lin Dan – di samping menduduki ranking no. 1 dunia untuk sejumlah 324 minggu.

Namun, andai amarahnya terus menyala, tiada siapa harus berasa pasti dia tidak akan menaiki podium juara 27 Ogos nanti.