JIKA Roger Federer yang berusia 35 tahun dan Rafael Nadal yang mencecah 30 tahun berterusan mewarnai sukan tenis dunia, badminton pula memiliki bintangnya sendiri iaitu Datuk Lee Chong Wei dan Lin Dan dari China.

Kedua-dua pemain ini sekalipun seteru utama di atas gelanggang, ia membuatkan pertembungan kedua-duanya amat dinanti-nantikan, sama seperti pertembungan antara Federer dan Nadal. Saya yakin dunia tenis lebih menanti pertembungan Federer / Nadal, berbanding dengan sama ada pertemuan antara Novak Djokovic / Andy Murray atau sebagainya. Begitu juga pertembungan Chong Wei / Lin Dan lebih dinantikan daripada pertembungan membabitkan Chen Long atau pemain lain.

Itulah aura dimiliki kedua-dua pemain ternama dunia badminton ini. Hanya satu tahun memisahkan usia kedua-duanya dengan Chong Wei kini 34 tahun manakala Lin Dan sudah berusia 33 tahun, namun belum ada petanda kedua-dua pemain ini akan menggantungkan raket masing-masing. Masih ada 'fire' dalam diri mereka dan Chong Wei serta Lin Dan masih ampuh di dalam gelanggang hinggakan barisan pemain muda belum dapat menyingkirkan kedua-dua pemain ini daripada gelanggang.

Final Terbuka Malaysia di Kuching, Sarawak Ahad lalu adalah pertemuan kali ke-38 dan kemenangan Lin Dan 21-19, 21-14 ke atas Chong Wei adalah kejayaan ke-26 pemain itu berbanding hanya 12 kekalahan.

Kali pertama kedua-dua pemain ini beraksi ialah pada 22 Februari 2004 pada Kejohanan Kelayakan Piala Thomas. Banyak sekali perlawanan menarik disajikan kedua-dua pemain ini. Antaranya sudah pasti tiga pertemuan di Sukan Olimpik dengan kali pertama di pentas final 2008 di Beijing dengan Chong Wei kalah mudah kepada Lin Dan.

Empat tahun kemudian di London, kedua-dua pemain ini bertemu sekali lagi di pentas final dengan sekali lagi Lin Dan meraih emas dengan perlawanan cukup sengit. Tahun lalu di Rio, kedua-dua pemain ini bertemu di separuh akhir dan kali ini Chong Wei akhirnya berjaya menebus dua kekalahannya di Olimpik kepada Lin Dan.

Selain pertemuan Olimpik itu, pasti sesiapapun tidak akan lupa pertemuan klasik di Kejohanan Badminton Dunia 2013 di Guangzhou. Pertarungan final itu menyaksikan kedua-dua pemain memberikan yang terbaik dengan Chong Wei memenangi set pertama 21-16 sebelum tewas set kedua 13-21 dan menuju set penentuan kedudukan terikat 11 sama sebelum Chong Wei mula berasa kejang otot di betisnya.

Walaupun gagah juga meneruskan permainan tetapi kesakitan tidak dapat ditampung lagi hingga dia terpaksa menarik diri ketika kedudukan 17-20 untuk memberikan gelaran dunia kepada Lin Dan.

Walaupun timbul kontroversi mengenai keadaan dalam gelanggang, ia tidak dapat menafikan hakikat bahawa ia adalah antara pertemuan paling menarik antara kedua-dua pemain ini. Semangat membara yang ada pada pemain ini untuk meneruskan aksi selagi kudrat masih ada amat amat bagus sekali buat dunia badminton yang ketika ini ketandusan pemain berbakat yang mempunyai karektor menarik seperti Chong Wei dan Lin Dan.

Nama-nama seperti Chen Long, Viktor Axelsen, Jan O Jorgensen, Chou Tien Chen dan Tian Houwei belum mampu menarik minat seperti Chong Wei dan Lin Dan.

Dunia badminton pasti akan sunyi sepi apabila Chong Wei dan Lin Dan memilih untuk menggantung raket masing-masing satu masa nanti... tetapi sebelum waktu itu tiba, marilah kita menikmati sajian hebat daripada Chong Wei dan Lin Dan ketika kesempatan masih terluang.