Datuk Lee Chong Wei sahkan kejuaraan Seluruh England dia yang keempat menerusi kemenangan ke atas perseorangan meningkat naik China Shi Yu Qi.

Pengumuman bersahaja Chong Wei susulan kemenangan itu untuk kembali mempertahankan gelaran ini pada 2018 menyuntik keterujaan dan pada masa sama memaksa bangkitnya satu persoalan.

Ini merupakan kali ketiga Chong Wei menumpaskan lawan dari China di pentas final untuk menawan saingan badminton tertua di dunia ini.

Kali pertama sebuah pertembungan klasik menentang siapa lagi kalau bukan seteru agungnya, Lin Dan pada edisi 2011.

Ya, sebelum itu Chong Wei pada 2010 menamatkan penantian untuk unggul di Birmingham selepas mengenepikan cabaran bekas ikon Jepun, Kenichi Tago.

2014 Chong Wei mendefinisikan erti seorang jaguh apabila memaksa pencabar takhta Lin Dan,Chen Long berputih mata.

Tiga tahun selepas itu, Seluruh England 2017, tidak banyak yang berubah dalam latar belakang saingan perseorangan lelaki.

Chong Wei melangkah ke pentas final di sebalik pelbagai cabaran juga menentang seorang lagi pemain China, bezanya ,Yu Qi pula yang dipandang sebagai penerus legasi Lin Dan dan Chen Long.

Meskipun tewas, Yu Qi menawarkan petanda ada sesuatu yang istimewa dalam dirinya berbanding senior seperti Wang Zhengming atau Tian Houwei.

Ada faktor dalam perwatakan dan gerak dia dalam gelanggang yang buat saya berasakan Yu Qi akan kembali lebih matang untuk berada dalam kalangan elit memenangi Seluruh England.

Sejak Chong Wei memenangi kejuaraan sulungnya di kejohanan ini, China sudah menikmati dan ditawarkan kesinambungan juara dan finalis berusia tiga generasi.

Malaysia?