Chelsea lemas di Etihad

Hasnizam Uzir
Januari 16, 2022 04:01 MYT
Jaringan tunggal Kevin De Bruyne pada separuh masa kedua telah memusnahkan harapan peminat-peminat Chelsea untuk melihat anak didik Pep Guardiola tewas di Stadium Etihad.
Kegagalan anak didik Thomas Tuchel memberi saingan dalam mendominasi permainan telah memberi ruang kepada pemain-pemain. Manchester City menguasai permainan. Dengan meletakkan Rodrigo Hernandez sebagai perancang utama Man City ia telah berjaya menggerakkan bahagian tengah dengan baik sekali.
Lihat sahaja bagaimana fungsi Hernandez itu yang bijak dalam mengatur gerakkan dengan menyalurkan bola kepada Kevin De Bruyne, Raheem Sterling dan Jack Grealish yang sentiasa memberi tekanan melalui kelincahan mereka sebelum melakukan hantaran-hantaran lintang. Disinilah anak didik Tuchel terperangkap dimana mereka gagal untuk memberi tekanan awal untuk memenangi bola dengan cepat. Sekiranya pemain-pemain Chelsea memberi tekanan awal dengan lebih agresif sudah tentu ia agak sukar untuk Man City mendominasi permainan.
Lihat sahaja bagaimana perubahan strategi dilakukan Chelsea pada separuh masa kedua di mana anak didik Tuchel itu mula bermain secara agresif dengan memberi tekanan awal pada Man City sehingga mereka berjaya memberi saingan. Namun ketumpulan bahagian serangan yang ditunjangi Rumelu Lukaku itu menidakkan kekuatan Chelsea. Ini yang perlu dibaiki oleh Tuchel pada masa hadapan kerana Chelsea memerlukan seorang penyudah yang tajam sebagaimana Chelsea memiliki Didier Drogba suatu ketika dahulu.
Atas kekurangan itulah membolehkan The Citizens mengambil kesempatan dengan kebijaksaan Bruyne apabila berjaya melepasi halangan Ngolo Kante dengan menterjemahkan satu jaringan yang cantik dengan melalui satu sepakkan lencong yang mengelirukan Kepa Azrrizablaga. Jaringan itulah yang melemaskan Chelsea di Etihad. Ini satu kemenangan yang membanggakan apabila Man City terus mendominasi carta liga selain mengekalkan kemenangan pada 12 perlawanan berturut-turut. Dengan kejayaan itu membuatkan Man City terus berada di puncak liga dengan tenang meninggalkan Chelsea dan Liverpool begitu jauh sekali.