Masih ingat filem Hindi bertajuk Chak De (Ayuh)! India terbitan 2007 dibintangi Shahrukh Khan yang diinspirasikan daripada kejayaan pasukan hoki wanita India menjuarai Sukan Komanwel Manchester pada 2002?

Ia adalah cereka fiksyen mengisahkan Kabir Khan (Shahrukh), bekas kapten skuad hoki lelaki India yang kembali daripada hidup dalam buangan selama tujuh tahun untuk menjadi jurulatih skuad wanita negara itu bagi menjadikannya sebuah pasukan bertaraf juara.

Tatkala mula mengambil alih pasukan, dia sebenarnya mewarisi sekumpulan pemain yang sering menjadi belasahan, diperburukkan lagi oleh sikap kedaerahan dan suku etnik berbeza-beza yang tebal di samping perbezaan agama yang menyukarkan sebarang usaha menyatukan mereka.

Tidak sukar membayangkan jalan ceritanya yang berkisar kepada segala jerih-perih, kekecewaan dan cabaran menggunung yang dihadapi Kabir Khan untuk kesudahannya ditutup dengan kejayaan mereka mencapai cita-cita.

Sesuai dengan kejayaannya sebagai filem yang memotivasikan, Chak De! India memenangi pelbagai anugerah, termasuk Anugerah Filem Kebangsaan Untuk Filem Popular Terbaik Memberikan Hiburan Menyeluruh di samping salinan skripnya dituntut Academy of Motion Picture Arts and Sciences untuk simpanan di perpustakaannya di Beverly Hills, California, Amerika Syarikat.

Sambil Chak De! India dan watak Kabir Khan adalah fiksyen semata-mata, peminat hoki Malaysia sebenarnya berdepan cerita seumpamanya di depan mata hampir setiap hari sejak kira-kira empat tahun lalu.



Bermula 2016, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah – bekas pemain hoki lelaki kebangsaan yang pernah membimbing skuad lelaki muda negara menduduki tempat keempat dalam Piala Dunia Remaja 2013 di New Delhi – diamanahkan tugas berat memupuk skuad wanita negara.

Seperti Kabir Khan yang tersisih, Dhaarma pula hanya dua tahun sebelum itu ‘direhatkan’ daripada tugas selaku ketua jurulatih skuad lelaki senior negara pada 2014 gara-gara kegagalan mencapai sasaran tempat ke-10 dalam Piala Dunia di The Hague, Belanda.

Sejurus mengambil alih daripada Paul Revington yang meletakkan jawatan, Dhaarma menyaksikan skuad yang diwarisinya berkesudahan di tangga tercorot dalam kalangan 12 pasukan dan gagal memenangi satu pun daripada enam perlawanan di sana.

Berselang dua bulan cuma, Dhaarma gagal lagi – kali ini dalam Sukan Komanwel Glasgow 2014 yang menyaksikan skuad bimbingannya di ranking ke-13 dunia turut diaibkan lawan di tangga ke-29, Trinidad & Tobago, dengan kekalahan 2-4.

Anggaplah ia sebagai hukuman apabila dia ‘terhumban’ ke kancah hoki wanita selepas itu bersama skuad belasahan di peringkat antarabangsa kecuali dalam Sukan SEA di mana mereka tiada tandingan.

Apakah analisis awalnya terhadap skuad hoki wanita negara ketika itu?

“Ketika saya mula mengambil alih, pasukan ini bolehlah dianggap ‘kelas kedua’ dan tiada harapan. Pemain-pemain telah diingatkan saya tidak akan bertolak-ansur kecuali hanya mencapai kejayaan. Lantas, mereka pun mula bekerja keras dalam pada pengurusan baru menerapkan mereka harapan dan keyakinan,” katanya.

Ujian awal yang menyusul ialah Trofi Juara-Juara Wanita Asia di Singapura dari 29 Oktober hingga 5 November 2016. Dipadankan dengan pasukan-pasukan terhebat sebenua, bukan menghairankan Malaysia berkesudahan tercorot dalam kalangan lima pasukan dengan kekalahan kepada Korea Selatan 2-5, China 1-3 dan India 0-2.

Dalam pada itu, bibit peningkatan mula terserlah apabila mereka mengalahkan Jepun 2-0 dalam liga round-robin itu – Jepun tidak pernah kalah kepada Malaysia selama berdekad di samping 24 jam sebelumnya India dipaksa berhempas-pulas untuk kemenangan tipisnya.

Tidak pun terlalu lama sebelum itu, pasukan-pasukan gergasi Asia lazimnya membelasah Malaysia dengan keputusan umpama dalam perlawanan tenis.

Namun, dengan Dhaarma di kerusi jurulatih, keadaan mula berubah – skuad hoki wanita Malaysia sudah mula berupaya bertahan, berani menyimpan bola, mampu bersaing hingga ke siren penamat dan paling penting, sudah beransur-ansur meninggalkan impak.

Berkongsi resipi peningkatan ketika itu, jurulatih berkenaan berkata pemain-pemainnya dibawa kembali kepada perkara asas.

“Fokus saya ialah kepada kecergasan umum, terutama kekuatan. Mereka diwajibkan mengambil lebih protein selain meningkatkan latihan di gimnasium kepada lima kali seminggu.

“Seperkara lagi ialah menukar pemikiran mereka. Penggunaan pemain senior untuk sepanjang perlawanan saya berhentikan, sebaliknya mencuba pertukaran bergilir-gilir secara berkesan yang terbukti membantu.

“Daripada sudut permainan pula, fokus saya ialah latihan pukulan sudut penalti – bagaimana untuk memanfaatkannya serta bertahan terhadapnya. Kaedah ‘drag flick’ ditekankan di samping keberkesanan pelari pertama, latihan penjaga gol dan pelbagai lagi,” katanya.

Bagaimana reaksi pemainnya – adakah sama dengan yang dihadapi Kabir Khan dalam Chak De?

“Memang pada mulanya ada yang sangsi dan berasa takut-takut. Tapi apabila mereka mula memahami peri pentingnya apa yang mereka diarah untuk lakukan, secara beransur-ansur segala-galanya mula menjadi.

“Mereka mula percaya kemampuan masing-masing untuk mencapai lebih daripada Sukan SEA. Mereka mampu bersaing untuk layak ke Piala Dunia dan itulah yang menjadi sasaran jangka panjang,” tambahnya.

Selebihnya, bak kata orang, adalah sejarah.

Kejayaan Dharma membawa anak buahnya muncul naib juara Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia 2017 di Kuala Lumpur – dalam laluan itu, mereka turut menundukkan pasukan pilihan pertama, Itali, 2-1 menerusi penentuan pukulan penalti – sekadar mengukuhkan lagi hakikat bahawa mereka bukan lagi pasukan belasahan.

Seterusnya, kesudahan di tempat kelapan Sukan Komanwel Gold Coast 2018, tangga keempat Trofi Juara-Juara Asia 2018 di Korea Selatan dan kelima dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 , meneruskan graf pendakian mereka.

Dipercepatkan waktu ke masa terkini, The Malaysian Tigress kempunan untuk mencipta sejarah mara ke Sukan Olimpik 2020 apabila kalah 0-3 kepada Korea Selatan dalam separuh akhir Pusingan Akhir Siri FIH di Banbridge, Ireland Utara, 16 Jun lalu.

Sedikit sagu hati ialah kedudukan tempat ketiga selepas menundukkan Republik Czech 3-0 dalam perlawanan terakhir yang bukan pun dilihat satu kegagalan, sebaliknya kejayaan yang tertangguh.

Latihan kerap seawal jam 3 pagi sepanjang bulan puasa, terbukti tidak sia-sia.

Dengan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) bercadang untuk menganjurkan Piala Dunia Wanita 2022, ia akan meluangkan satu lagi kesempatan untuk Dhaarma menyerupai watak Kabir Khan dalam Chak De! Malaysia pula -- asalkan kontraknya dilanjutkan Disember depan.