Minta maaf, pakcik,” sapanya kepada saya.

Saya terkedu seketika. Pakcik! Nak kata saya ni tua sangat, saya rasa taklah… mungkin rambut dan janggut putih saya menyebabkan pemuda itu memanggil saya dengan panggilan pakcik.

“Ya, ada apa?,” saya membalasnya. “Maaf mengganggu pakcik… tapi pakcik ni kerja di Astro Arena kan?. Saya ada nampak pakcik dalam beberapa rancangan di Arena,:” katanya.

Sambil tersipu-sipu saya menjawab ‘Ya’ (dalam hati berkata “ada juga orang yang kenal aku” dan ketawa kecil). Dia meminta izin untuk duduk di hadapan saya dan kemudian terus membuka topik perbualan terutama sekali mengenai badminton.

“Saya hairan kenapa BAM asyik tumpu kepada Datuk Lee Chong Wei saja,” katanya. “Kesian juga kepada Chong Wei kerana teruk dikerjakan BAM semata-mata untuk mengejar misi negara nak menang pingat emas pertama Sukan Olimpik.

“Dah tak ada orang lain ke? Sepatutnya BAM ada perancangan untuk cari pengganti Chong Wei. Ini tidak. Saya rasa kalau boleh BAM dan pembesar-pembesar sukan negara nak suruh Chong Wei main sampai bila-bila kot,” katanya yang agak beremosi.

“Tak,’ kata saya. “Sebenarnya BAM sudah tidak ada pemain lain. Hanya Chong Wei saja. Mahu tak mahu, terpaksalah perah kudrat Chong Wei. Lagipun Chong Wei tidak pernah kata dia tidak mahu main lagi, jika tidak sudah tentu dia sudah menarik diri sebaik dikenakan penggantungan lapan bulan akibat kesalahan doping,” kata saya.

Pemudanya itu nampaknya tidak mahu mengalah dan terus mengeluarkan hujah-hujahnya. “Pada pendapat saya Chong Wei sudah tidak mampu memikul beban. Dengan faktor usia, lariannya tidak sepantas dulu, kawalan gelanggangnya tidak selincah dua tahun lalu. Dan dia begitu mudah dijinakkan Chen Long dan Lin Dan.

“Kalau Chong Wei gagal di Sukan Olimpik saya tidak menyalahkan beliau tetapi saya salahkan BAM. Mana program pembangunan BAM? Mana produk-produk pemain berkaliber?,’ katanya.

Memang sukar untuk saya menidakkan hujah-hujahnya tetapi saya tahu orang muda lekas marah dan beremosi berbanding orang yang berumur.

“Saya pasti BAM mempunyai perancangan yang rapi. Ramai pakar-pakar di sana,” kata saya. “Paul Erik (Presiden BWF ketika ini) menang emas Olimpik ketika usia 31 tahun. Siapa tahu mungkin Chong Wei dapat mencipta kejutan jadi pemain badminton tertua menang emas Olimpik. Tuah ayam nampak dikaki, tuah manusia siapa yang tahu.”

Pemuda itu tersengih-sengih dengan kata-kata saya. “Pakcik ni terlalu opitimis la,” katanya, yang meminta izin untuk beredar sebelum membayar sarapan pagi saya.

Dalam hati saya berkata: “Ya, saya perlu optimis. Siapa lagi yang mampu memberikan pingat emas Olimpik kepada negara kalau bukan Chong Wei.

Cuma saya berharap ia tidak terlalu lewat buat negara dan Lee Chong Wei sendiri.