Apabila Zinedine Zidane dan Cristiano Ronaldo meninggalkan Real Madrid pada penghujung musim 2017-2018, Los Blancos seakan-akan buntu. Pengganti Zidane, Julen Lopetegui, kelihatan berpotensi tapi beliau tidak dapat memenuhi jangkaan orang ramai pada akhirnya.

Jurulatih Pasukan B Real, Santiago Solari, dinaikkan pangkat untuk menggantikan Lopetegui tapi beliau juga gagal menaikkan nama kelab itu. Akhirnya, presiden kelab itu, Florentino Perez, mendapatkan semula khidmat pengurus kelahiran Perancis itu sekali lagi.

Sepanjang tempoh 10 bulan Zidane tidak menerajui Real yang dahulunya memenangi Liga Juara-Juara (UCL) empat kali dalam masa lima tahun sejak 2014, tahap kepercayaan dan keyakinan pemainnya telah hancur berkecai.

Pemain senior seperti Marcelo, Sergio Ramos, Raphael Varane, Karim Benzema, Casemiro dan Gareth Bale seperti sudah hilang keyakinan diri. Mereka hanya menyaksikan sahaja apabila Ajax, Barcelona dan pasukan berprestasi sederhana lain menewaskan Real sambil melenyapkan mentaliti bermain untuk menang mereka. Jelas kelihatan yang Zidane terpaksa memupuk pasukan ini dari awal dan membina semula keseluruhan skuad.

Zidane berjaya buat kali kedua. Real kembali ke senarai teratas La Liga dengan kelebihan tiga mata terhadap Barcelona selepas 21 perlawanan. Dalam saingan UCL pula, Real kini berdepan pusingan penyingkiran dan pilihan untuk menyingkirkan Manchester City yang sedang bergelut. Mereka sudah pun memenangi satu piala dengan menewaskan Atletico Madrid dalam Piala Super Sepanyol menerusi penentuan sepakan penalti.

Hasil permainan cemerlang itu menunjukkan yang pemain kini sudah bangkit kembali atas jasa kemahiran pengurusan pemain Zidane yang hebat. Antara pemain yang menonjol adalah Casemiro.

Casemiro memendekkan cuti musim panasnya dan menyertai pramusim lebih awal selepas lelah bermain dalam kempen Copa America dengan pasukan Brazil. Walaupun Zidane dikenali dengan giliran skuad yang bertukar setiap minggu, Casemiro tidak diusik. Dia mempunyai jumlah penampilan terbanyak dalam semua perlawanan dan hal ini menunjukkan betapa pentingnya dia buat pasukan Real.

Dia seorang pemain tengah yang rajin berkejaran di atas padang. Tugasnya adalah untuk menjejak dan merampas kembali bola apabila Real kehilangan penguasaan bola serta melakukan hantaran ketika Real melakukan serangan. Dalam hal ini, prestasi Casemiro sangat cemerlang.

Menurut WhoScored, dia berada di kedudukan teratas dalam carta pertahanan Real Madrid dengan purata tiga rebutan bola, dua pintasan dan 2.5 sepakan jauh dari gawang gol sendiri.

Statistik tersebut menunjukkan yang dia mampu membaca permainan dan memburu pemain pihak lawan. Pemain berusia 27 tahun itu merupakan salah seorang pemain tengah pertahanan terbaik di Eropah dengan kejayaan menjaringkan tiga gol dan membantu menjaringkan satu gol dalam liga itu.

Kepentingan Casemiro dapat dilihat dalam El Clasico yang mana tanpa mengenal erti penat lelah, dia berkejaran di setiap inci padang.

Penetapan minda taktikalnya serupa dengan Zidane dan perkara itu mewujudkan satu hubungan yang kuat.

Pemain pertahanan Real cenderung untuk mara ke kawasan pihak lawan apabila mereka mendapat bola, seterusnya membuatkan pertahanan menjadi lemah dan terdapat ruang untuk dieksploitasi pihak lawan.

Namun, pasukan Real tidak pernah kalah dalam serangan balas. Sebabnya? Casemiro akan pastikan mereka berjaya. Kehadirannya dalam barisan pertahanan Real terbukti sangat penting.

Dia melakukan semua kerja serangan balas ini sambil mara ke kawasan pihak lawan juga. Kepintarannya membaca perlawanan membolehkan dia menentukan waktu yang tepat untuk menyerang.

Kini, kemahirannya tidak lagi digunakan hanya untuk barisan pertahanan disebabkan prestasi Federico Valverde yang meningkat. Kemenangan 2-1 menentang Sevilla membuktikan betapa berbisanya penangan Casemiro di samping gaya permainannya yang tidak dapat diramalkan oleh pihak lawan. Sevilla telah dikecewakan oleh penyerangan Casemiro yang membawa kepada kemenangan tiga mata buat Real.

Pemain tengah kelahiran Brazil itu merupakan pemain penting barisan tengah dalam skuad utama Zidane di Stadium Santiago Bernabeu. Di bawah pimpinan pengurus kelahiran Perancis itu, dia menjadi seorang pemain yang licik, jenis pemain yang disukai peminat kelabnya dan dibenci oleh peminat kelab lawan.

Menurut khabar angin, dia akan tidur di dalam kebuk hiperbarik dan pada masa lapangnya, dia akan membaca tentang pemain pihak lawan di Wyscout – sebuah platform bola sepak dalam talian untuk mendapatkan maklumat tentang analisis perlawanan dan dinamik perpindahan pemain. Bekas pemain kelab Sao Paulo ini terbukti adalah lambang identiti Real.

Rodrygo de Silva, rakan sepasukannya dari Brazil juga memuji Casemiro. Ini ulasannya terbarunya terhadap Casemiro:

“Dia telah mengubah imej pemain Brazil yang malas. Dia selalu mengajak kami ke gim.” (tribuna.com)

Bagaimanapun, masih banyak lagi kemenangan yang perlu dicapai oleh pemenang UCL 13 kali itu. Ketika separuh kedua musim baru sahaja bermula, Zidane dan skuadnya kini telah merekodkan tiga kemenangan berturut-turut.

Ia mungkin kedengaran tidak masuk akal bagi kelab lain tapi berdasarkan pencapaian Zidane sebelum ini, tiada apa-apa yang mustahil dan kebanyakannya adalah disebabkan Casemiro dan kebolehannya.