Bergelut mencari rentak sejak berhijrah ke Stamford Bridge musim panas lalu, seperti watak filem Marvel, Captain America, yang dibekukan sebelum bangkit menyelamatkan dunia, Chelsea juga telah disajikan sentuhan terbaik Christian Pulisic yang bangkit dengan hatrik.

Membantu skuad kendalian Frank Lampard itu mengatasi Burnley 4-2, Pulisic melakukan hatrik sempurna sebagai jaringan pertamanya bersama pasukan itu.
Hadir ke dalam pasukan bagi menggantikan Eden Hazard yang berhijrah ke Real Madrid, pemain berusia 21 tahun itu membuktikan kemampuannya di Turf Moor.

Berdasarkan temubual menerusi dailymail.com, Lampard berkata, "Saya amat gembira dengannya. Dia menjadi topik hangat kerana nilai harga yang tinggi dan statusnya bersama pasukan kebangsaan.

"Semua orang akan terbawa-bawa dengan sasaran jangka pendek. Tetapi untuk jangka panjang, dia datang ke sini dan baharu saja berusia 21 tahun dan dia beraksi seperti hari ini.

"Anda sendiri dapat lihat bagaimana aksinya hari ini. Dan masih banyak lagi pada masa akan datang. Ia hanya sebuah permulaan."

Diketepikan sebelum ini kerana masih lagi mencari jalan untuk menyesuaikan diri dengan bola sepak Inggeris, Lampard kerap menurunkan Callum Hudson-Odoi sehinggalah peluang yang diberikan kepada Pulisic digunakan sebaik mungkin.

Pulisic tidak berada dalam kesebelasan utama Chelsea bagi saingan Liga Juara-Juara sejak Ogos lalu. Namun, berdasarkan persembahan sebagai pemain gantian ketika bertemu Newcastle dan Ajax dalam saingan UCL, telah meyakinkan Lampard untuk menurunkannya ketika berdepan The Clarets.

Ramai yang tertanya-tanya bagaimana Pulisic berjaya mendapatkan tempat dalam skuad kendalian Lampard selepas perpindahan bernilai GBP58 juta (RM312 juta) daripada Dortmund -- perpindahan yang memaksa Chelsea digantung daripada membeli mana-mana pemain lain dalam tempoh dua jendela perpindahan.

Buktinya menerusi tiga bantuan jaringan yang terhasil daripada empat penampilannya dan tiga gol yang terhasil di Turf Moor adalah cara dia membalas kepercayaan yang diberikan oleh Lampard.

Kesilapan pertahanan, Matthew Lowton, membuka ruang kepada Pulisic menggelecek bola menuju ke arah pintu gol sebelum melepaskan rembatan menerusi kaki kiri menewaskan penjaga gol, Nick Pope -- jaringan pertamanya untuk Chelsea dan gol pertama yang disumbang oleh pemain kelahiran Amerika Syarikat.

Gol kedua terhasil menerusi rakan sepasukannya, Willian, yang memintas hantaran pemain Burnley sebelum Pulisic sekali lagi deras melakukan larian memburu jaringan kedua menggunakan kaki kanannya.

Mana-mana penyerang yang menjaringkan dua gol sentiasa mengimpikan hatrik, lantas hantaran Mason Mount menerusi sepakan percuma berjaya disambar Pulisic untuk memahat namanya sebagai penjaring hatrik sempurna.

"Ia adalah jaringan hatrik pertama saya, jadi saya hampir terlupa bentuk bola perlawanan," kata Pulisic kepada Sky Sports. "Saya bertuah kerana rakan sepasukan banyak membantu saya.

"Saya hanya mahu beraksi di atas padang, membantu pasukan dan memberi impak. Saya tidak fikir ia perkara yang sangat mudah. Tetapi saya sudah beraksi beberapa kali sejak beberapa minggu lalu dan gembira untuk beraksi dalam skuad utama hari ini. Ia adalah hari istimewa."

Kemenangan tersebut merupakan yang ketujuh berturut-turut bagi Chelsea yang bakal berdepan Manchester United -- lawan yang mereka tewas 4-0 dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) -- untuk merebut slot ke suku akhir Piala EFL.

Impak Pulisic satu-satunya perkara yang harus dikagumi pada permulaan era Lampard di Stamford Bridge, keyakinannya terhadap pemain-pemain muda seperti Tammy Abraham, Mount serta Fikayo Tomori menampilkan permainan yang mengagumkan.
Namun, seperti apa yang dikatakan Lampard, ini adalah permulaan untuk pemain.