Sejurus selepas kekalahan yang memalukan itu, jurulatih ketika itu, Dollah Salleh meletak jawatan dan pasukan negara terumbang-ambing tanpa hala tuju terutama sekali selepas berdepan detik pahit yang tentu akan meninggalkan kesan negatif kepada setiap seorang pemain yang beraksi di Abu Dhabi.

Sedar hanya 4 hari selepas insiden memalukan di Timur Tengah, Malaysia perlu berdepan satu lagi pasukan berbisa Arab Saudi di laman sendiri, Datuk Ong Kim Swee dilantik sebagai jurulatih sementara pasukan negara untuk tugas berat itu.

Sebelum perlawanan menentang Arab Saudi, ramai yang meramalkan Malaysia akan kalah teruk sekali lagi dan era bola sepak Malaysia semakin menghampiri penghujungnya. Tetapi lain pula ceritanya di Stadium Shah Alam. Malaysia berjaya bangkit dan apa yang lebih menarik ialah skuad negara yang bertanggungjawab menjaringkan gol pembukaan.

Saya berkesempatan menemubual Kim Swee dan bertanyakan apakah tonik di sebalik kebangkitan skuad negara dan beliau berkongsi, menjelang pertemuan dengan Arab Saudi, Kim Swee hanya fokus kepada mentaliti pemain yang terbukti berkesan setelah semangat juang yang dipamerkan skuad negara, sehingglaah insiden suar dan mercun membayangi perlawanan itu. Bukan mudah untuk seseorang jurulatih menyemarakkan semangat pasukannya setelah kekalahan yang sangat memalukan

Bukan itu sahaja, dalam temubual khas bersama Kim Swee untuk program [email protected], apa yang dapat saya lihat ialah Kim Swee merupakan seorang individu yang sentiasa ingin menyahut cabaran, yang bagi saya adalah prinsip yang tepat jika ingin membimbing pasukan negara ke arah kejayaan.

Jadi nasihat saya ialah, berilah jawatan yang penuh mencabar ini kepada Datuk Ong Kim Swee kerana saya yakin beliau mempunyai kuasa dan cara tersendiri dalam membimbing pasukan negara menjadi pasukan yang digeruni suatu ketika dulu.