Kejohanan Piala Asia 2019 yang berlangsung di Emiriah Arab Bersatu(UAE) hampir melabuhkan tirainya apabila hanya tinggal empat pasukan terbaik yang masih meneruskan kemaraan masing-masing.Perlawanan separuh akhir nanti akan menemukan antara pasukan Jepun dan Iran, manakala Qatar akan bertemu tuan rumah UAE.

Apa yang menarik mengenai kejohanan kali ini adalah kejayaan pasukan Vietnam yang berjaya melangkah ke perlawanan suku akhir.Namun, di perlawanan tersebut mereka tewas 0-1 kepada Jepun hasil jaringan penalti yang dihasilkan oleh Ritsu Doan pada minit ke-57.

Dengan kejayaan yang dicapai Vietnam sudah pastinya membuka mata banyak pihak dan menjadi penanda aras baru perkembangan bola sepak di Asia Tenggara. Jika dilihat senarai pemain Vietnam, mereka bukanlah dikenali ramai. Malah rata-ratanya yang beranggapan pemain Thailand, Filipina malahan Malaysia lebih popular dan dikenali oleh media luar. Watak utama dalam pembentukan pasukan Vietnam kini sudah tentulah terhadap pengendali yang berasal dari Korea Selatan iaitu Park Hang Seo ataupun lebih mesra dipanggil Cikgu Park. Beliau merupakan individu yang membentuk taktikal DNA di Vietnam. Selain daripada menjadi jurulatih skuad senior beliau juga bertanggungjawab membentuk skuad bawah 23 tahun Vietnam.

Misi utama yang beliau sasarkan adalah untuk meletakkan Vietnam di kelompok 100 terbaik dalam ranking dunia sebelum kontraknya tamat pada Oktober 2019. Media Vietnam ketika itu berasa kurang yakin mengenai impian beliau dan menganggap itu adalah kenyataan biasa bagi mana-mana jurulatih baru.
Namun begitu Park berjaya mengunci mulut pengkritiknya apabila berjaya meletakkan Vietnam di tangga 100 dalam ranking FIFA 11 bulan sebelum tempoh akhir kontrak beliau tamat.

Antara pencapaian Park sebelum ini adalah menjadi naib Juara Piala Asia B-23 dan Juara di kejohanan Piala AFF Suzuki.Sekiranya momentum kejayaan ini berterusan tidak keterlaluan untuk mengatakan Vietnam adalah pasukan dari Asia Tenggara yang paling hampir untuk lolos ke pusingan akhir Piala Dunia FIFA.