Jika peminat hoki tanah air mampu membanjiri Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh, dalam perlawanan akhir Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2019 di antara Korea Selatan dan India yang disaksikan lebih 3,000 penyokong, maka bermula 26 April ini, skuad hoki negara memerlukan sokongan anda sekali lagi sempena Kejohanan Final Siri Dunia di Kuala Lumpur.

Skuad hoki negara berhadapan cabaran sukar apabila perlu membuktikan prestasi cemerlang untuk merebut gelaran juara Final Siri Dunia selepas menamatkan saingan Piala Sultan Azlan Shah di tempat ketiga bulan lalu.

Baru-baru ini, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, menyatakan hasratnya untuk melihat skuad hoki negara meraih kejuaraan dalam kejohanan sebagai tuan rumah itu bagi melayakkan The Speedy Tigers ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas 19 tahun gagal menempah slot ke temasya Olimpik.

Demikian cabaran dilemparkan Subahan untuk menggesa barisan pemainnya membalas jasa baik KHM selepas empat tahun tidak pernah lewat membayar elaun, malah sudah menyediakan persiapan terbaik buat mereka.

Subahan meletakkan harapan tinggi kepada barisan pemain apabila Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama-sama China yang satu-satunya bakal menjadi pencabar sengit, diikuti Brazil dan Itali manakala Kumpulan A terdiri daripada Austria, Belarus, Kanada dan Wales.

Malaysia perlu menamatkan aksi sekurang-kurangnya di kedudukan dua terbaik keseluruhan andai mahu meletakkan peluang cerah ke Tokyo tahun depan.

Selain daripada usaha barisan pemain, kehadiran penyokong yang ramai mampu membantu menyuntik semangat dan keyakinan mereka, sekali gus memberi impak besar kepada The Speedy Tigers dalam usaha menyahut cabaran KHM merebut gelaran juara saingan ini.

Jadi, apa lagi penyokong Malaysia, mari penuhkan Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 April sehingga 4 Mei ini.

Apatah lagi, KHM telah mengambil pendekatan untuk menarik kehadiran penyokong ke stadium dengan mengumumkan masuk adalah percuma.