Menunggang basikal seiring (tandem) memberi pengalaman tersendiri buat pelumba pilot (guide) apatah lagi apabila dijadikan harapan buat pelumba di belakang.

Persefahaman serta komunikasi yang baik menjadi antara faktor penting dalam memastikan satu persembahan mantap dapat dihasilkan.

Itulah peranan yang dibawa dua pelumba negara, Rauf Nur Misbah serta Faizal Mohd Noh bersama-sama skuad berbasikal para negara di Temasya Paralimpik Rio 2016.

Kedua-dua pelumba ini berada dalam program Kita Juara untuk persiapan hadapi Temasya Sukan Sea 2017 di Kuala Lumpur.

Namun mereka dipinjamkan kepada skuad berbasikal para negara untuk membantu Khairul Hazwan Wahab bagi saíngan lebuhraya serta Afiq Afify Rizan yang beraksi dalam kategori trek.

Faizal bersama Afiq sudah memulakan cabaran mereka 8 September lalu menerusi acara kejar mengejar 4 kilometer di mana mereka duduki tempat ke-14 daripada 16 pelumba yang ambil bahagian.

Catatan 1 minit 51.906 saat menyaksikan Afiq perbaiki catatan peribadi 1 minit 57.611 saat yang direkodkan ketika Kejohanan Dunia Trek di Montichiari, Itali pada Mei.

Faizal dan Afiq sepatutnya turun dalam acara ujian masa 1 kilometer namun hasrat itu tidak kesampaian selepas Afiq terpaksa menarik diri ekoran jangkitan di bahagian saraf tulang belakang ataupun meningitis.

Manakala bagi Rauf dan Hazwan, mereka akan ambil bahagian dalam dua acara iaitu lebuhraya serta ujian masa dengan Hazwan pastinya ingin perbaiki persembahan yang dilakukannya di London 2012.

Meskipun kedua-dua pelumba ini hanya digandingkan bersama awal tahun lalu, itu tidak menghalang mereka cepat bentuk keserasian dan kini sudah bersedia untuk hadapi hari pertandingan nanti.

Teruskan beri sokongan kepada mereka dan tidak mustahil keputusan yang positif mampu dilakar walaupun tidak dinafikan saingan di peringkat Paralimpik amat mencabar. #KamiLuarBiasa