Seringkali rakan-rakan mahupun saudara-mara tidak begitu kenal tugas di sebalik penghasilan berita sukan dan apa yang dilakukan mereka di belakang tabir.

Sesuatu yang perlu diketahui, waktu bekerja kami berlainan dan perlu berkorban bekerja pada hari minggu juga pada hari perayaan dan cuti umum namun ianya sudah biasa ditempuhi demi tuntuan kerja di dunia penyiaran.

Berbalik kepada pertanyaan apa kerja saya, dalam bahasa mudah saya menjawabnya, sudah pasti memastikan susunan berita utama didahulukan sebelum disusuli berita sukan yang lain. Selain itu, skrip yang ditulis perlu diperiksa supaya fakta dan isu yang diketengahkan difahami oleh penonton.

Begitu juga, penyediaan grafik dan info menarik untuk berita yang disiarkan bagi menambah nilai sesuatu berita untuk pengetahuan am penonton di rumah.

Nampak senang namun realitinya tetap mencabar. Tempoh masa yang ada adalah hanya beberapa jam untuk memastikan kelancaran penghasilan berita 15 minit ataupun 30 minit.

Bayangkan juga situasi ini, 30 minit ataupun 10 minit sebelum berita mula, tiba-tiba menerima berita gempar sesuatu sukan, ataupun semasa berita sedang berlangsung, terdapat berita terkini yang perlu disampaikan, bagaimanakah menyelit berita terkini ini untuk disiarkan?

Komunikasi dengan penyampai berita disini adalah penting untuk memastikan mereka memahami apa yang perlu disampaikan kepada anda di rumah.

Juga kerjasama sepasukan bersama penolong penerbit, penyampai berita, wartawan, jurukamera serta penyunting video adalah penting dalam penghasilan satu berita.

Sudah lebih 5 tahun saya tempuhi dalam bidang penyiaran sukan, pelbagai yang dilalui tiap-tiap hari, ada kala berita gembira tentang kejayaan dan gemilang atlit negara, ada kalanya sedih berita kekalahan, isu negatif serta politik dunia sukan, namun kami bertindak sebagai orang tengah menyampaikan berita seadanya buat anda.

Tidak dilupakan kami di Nadi Arena, berikan tumpuan lebih 75% berita sukan tempatan setiap hari berbanding dengan liputan sukan antarabangsa, selari dengan misi kami memartabatkan sukan tempatan.

Silap ataupun kelalaian kami sudah pasti ada namun kami cuba memastikan tiada kesilapan dilakukan untuk terus memberi liputan berita sukan terbaik buat tatapan anda.

Saya memohon maaf buat salah silap kami dan akan memperbaikinya dari semasa ke semasa. Mungkin anda diluar sana boleh berikan idea ataupun cadangan bagi kami memperbaiki kualiti penyiaran berita kami. :)