Perpindahan pemain antarabangsa Portugal, Cristiano Ronaldo ke Juventus cetuskan fenomena tersendiri khususnya buat peminat pasukan berkenaan mahupun kepada saingan Serie A itu sendiri.

Pada usia 33 tahun, Ronaldo mungkin dianggap bukan lagi bintang utama yang dapat menyinari kem Real Madrid apabila setuju melepaskan kapten skuad kebangsaan Portugal itu ke Juve dengan nilai perpindahan 100 juta Euro.

Penghijrahan Ronaldo tidak lagi dilihat sebagai kejutan kerana selepas membantu Real memenangi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) buat kali ke-11 dan yang ketiga berturut-turut musim lalu, dia sudah memberi bayangan bahawa itu kemungkinan aksi terakhirnya bersama Los Blancos.

Begitupun dia tetap boleh mendabik dada kerana sudah mengecapi segala kejuaraan bersama Real sepanjang hampir sedekad dia bersama kelab yang berpangkalan di kota Madrid itu.

Impak perpindahan Ronaldo ke Juventus secara tidak langsung meningkatkan imej kelab berkenaan dengan jenama "CR7" menjadi tumpuan utama khususnya di media sosial.

Selain itu, menerusi statistik yang diperoleh, selepas Ronaldo sah menjadi pemain Juve, jersi kelab berkenaan dengan nama pemain itu dijual sebanyak RM520,000 sehelai pada hari pertama pengumuman dilakukan.

Jumlah itu sahaja lebih separuh daripada jualan keseluruhan jersi Juventus pada tahun 2016 dengan sebanyak RM850,000 helai dijual sepanjang tahun berkenaan.

Malah ketika perpindahan pemain antarabangsa Brazil, Neymar dari Barcelona ke Paris Saint Germain (PSG) tahun lalu, jersi yang memaparkan nama pemain itu hanya terjual sebanyak RM10,000 helai.

Secara keseluruhan, imej serta jenama yang dibawa Ronaldo ini akan menyemarakkan kembali minat kepada saingan Serie A seperti mana yang pernah dilakukan lagenda Brazil, Ronaldo pada zaman 1990-an.

Kepada Ronaldo sendiri, setiap gelaran dalam saingan domestik di Itali pastinya menjadi idaman selain cuba membantu "The Old Lady" untuk menjuarai UCL yang kali terakhir dikecapi pada musim 1995/1996.