Piala Sultan Azlan Shah sudah memasuki edisi ke-26.

Ramai yang bertanyakan mengenai peluang Malaysia muncul juara buat kali pertama, tetapi kali ini saya harus akui peluang itu masih lagi tipis.

Lihat saja kepada barisan lima pencabar: Australia, Great Britain, India, New Zealand dan Jepun.

Hanya Jepun ketinggalan ranking dunia di belakang Malaysia, selebihnya? Mereka semua akan jadi 'guru' dalam persiapan Separuh Akhir Liga Dunia di London, England, Jun depan selaku kelayakan Piala Dunia 2018.

Apa yang menarik, semua pasukan ini turut layak ke Separuh Akhir Liga Dunia sama ada di London atau Afrika Selatan.

Ini bermakna, mereka semua mempunyai tujuan sama seperti Malaysia.

Secara realistik, Australia berada satu tahap lebih tinggi berbanding pasukan lain. Ini bermakna, juara sembilan kali ini akan turun sebagai pilihan utama.

Malah, perlu diingatkan Malaysia lima kali pernah layak ke final, 3 daripadanya tumbang di tangan juara dunia itu.

Pasukan dijangka mara ke final sama ada India atau Great Britain.

India, tidak boleh di sangkal lagi peningkatan mendadak mereka hingga muncul pasukan terbaik Asia dengan menghuni ranking keenam dunia sementara Great Britain, jarang sekali mengecewakan pada kejohanan bertaraf elit seperti di Ipoh.

Malaysia? Saya yakin mereka mampu beraksi dalam perlawanan penentuan tempat ke-3/4.

Stephen van Huizen membawa pemain terbaiknya ke Ipoh dengan kepulangan semula penyerang, Faizal Saaari, S Kumar (penjaga gol) selain peningkatan Muhammad Razie Abd Rahim (pakar pukulan sudut penalti).

Selepas melihat kemampuan mereka pada aksi pemanas badan kejohanan (menang sekali, seri sekali dan tewas sekali) saya fikir mereka mampu menumbangkan Jepun dan New Zealand pada peringkat liga.

Memetik komen bekas kapten negara, Azlan Misron: "Malaysia mampu raih tangga keempat, mungkin boleh menaiki podium. Tahun lalu, mereka hanya terlepas podium selepas tewas menerusi penalti shoot out di tangan New Zealand.

"Tahun ini, mereka nampak lebih mantap dengan gabungan pemain senior dan muda. Mungkin KHM patut mensasarkan podium," katanya.

Podium terakhir The Malaysian Hockey Tigers ialah pada 2014 ketika tewas, 3-8 di tangan Australia pada final.

Ayuh Malaysia, walaupun diletakkan pasukan ranking kelima namun anda berhak menaiki podium!