Sehingga Terbuka AS 2008, kejaguhan Tiger Woods mengundang kekaguman di seluruh dunia. Tapi tidak lagi pada ranking nombor 666 dunia kini.

Yang terbaru, perihal dia menaiki penerbangan komersial yang pertama dalam tempoh 10 tahun, mengambil alih sebagai berita besar.

Bukan lagi kesempurnaannya membuat kejayaan memenangi gelaran utama dalam golf kelihatan mudah. Atau mengenai barisan pencabar yang sering mengeluh kerana sebarang ikhtiar untuk mengalahkannya menuntut keajaiban.

Itu Woods yang dulu – yang diumpamakan dengan ‘dewa golf’ yang turun ke bumi.

Kini, perihal Woods, 41 tahun, terlepas garis kelayakan selepas dua hari pertama saingan mana-mana kejohanan Jelajah PGA, Jelajah Eropah atau Siri Kejohanan Dunia yang dulunya seakan-akan ‘taman permainan’ buatnya, semakin dianggap biasa.

Contoh terbaru berlaku pertengahan minggu ini. Woods yang memilih untuk menaiki penerbangan komersial ke Dubai – berbanding lazimnya terbang dengan jet peribadi -- menjadi tajuk utama laman-laman sukan di Amerika Syarikat.

Tiada siapa lagi yang kisahkan penyertaannya dalam Kejohanan Dubai Desert Classic Omega di Dubai itu berkesudahan dengan penarikan dirinya selepas hari pertama – dia mencatat 5 melebihi par 77 – dengan alasan kesakitan belakang.

Minggu sebelum itu pun, Woods turut terlepas garis kelayakan dalam Kejohanan Terbuka Farmers Insurance di San Diego dalam pada dia mengesahkan penyertaan dalam empat pertandingan berturut-turut sebagai persiapan menjelang Masters Amerika Syarikat di Augusta, 6-9 April depan.

Kejayaan Roger Federer, 35 tahun, menjuarai Terbuka Australia untuk gelaran Grand Slam ke-18nya pada 29 Januari lalu, sebelumnya mahu dijadikan Woods sebagai inspirasi untuk kebangkitannya sendiri.

Sesungguhnya, sejak gelaran utama terakhir yang diraihnya dalam Kejohanan Terbuka AS 2008 itu untuk gelaran utama ke-14nya, dunia meyakini ia hanya menanti masa untuk Woods mengatasi Jack Nicklaus yang masih bertahan dengan 18 gelaran utama dan status pemain golf terhebat sepanjang zaman.

Namun, tidak demikian takdir buat pemilik nama penuh Eldrick Tont Woods ini, bapa kepada Sam Alexis Woods dan Charlie Axel Woods.

Sepanjang era 2000-an ini, Tiger adalah kuasa dominan dalam golf, dengan mengharungi 264 minggu dari Ogos 1999 hingga September 2004, kemudian 281 minggu lagi dari Jun 2005 hingga Oktober 2010, selaku pemain nombor 1 dunia sebelum pelbagai siri kecederaan -- dan skandal ketagihan seks -- mengambil alih dirinya.

Sejak permulaan 2014, Tiger hanya tampil dalam 21 pertandingan, dengan menarik diri dalam empat daripadanya dan terlepas garis kelayakan dalam tujuh yang lain.

Dia juga menduduki tempat tercorot dalam Kejohanan Memorial dua tahun lalu dengan catatan 85 dalam pusingan ketiga. Satu-satunya kedudukannya dalam kelompok 10 teratas ialah dalam Kejohanan Wyndham pada 2015 – penampilan terakhirnya sebelum dikerah berehat 15 bulan untuk pembedahan dan pemulihan.

Sepanjang tempoh yang sama, Woods terlepas menyertai 12 kejohanan utama dan gagal melepasi garis kelayakan dalam empat yang lain.

Daripada kejohanan utama yang menyaksikan dia mampu bertahan hingga hari terakhir, Woods sekadar menduduki tangga ke-69 (daripada 72 pemain) dalam Kejohanan Masters 2014 dan ke-15 dalam Masters 2015.

Sesudah terlepas Masters tahun lalu gara-gara pembedahan belakang, Tiger mengharapkan dia akan kembali memuncak dalam Masters 2017, April ini.

Atau sekurang-kurangnya itulah perancangannya, tapi takdir dirinya mungkin tidak demikian.

Peminat tegar di seluruh dunia sekalipun seakan-akan sudah berasakan hari-hari terbaik Tiger Woods – di sebalik dominannya dia sebagai atlet terhebat pada abad ke-21 dengan memiliki 14 kejuaraan ‘major’ -- sudah pun berakhir.