Ini bukan sejarah kedatangan koko ke Tanah Melayu. Bukan juga gosip terbaru King Coco yang khabarnya sedang berbadan dua. Ini kisah menarik puteri tenis Amerika Syarikat, Coco Vandeweghe, yang menyebabkan Karolina Pliskova menjadi pemain paling sekejap memegang gelaran nombor satu dunia iaitu lapan minggu sahaja.

Semuanya selepas Coco berjaya menjinakkan Pliskova yang juga finalis 2016, dengan aksi straight set ketika ramai meramalkan perlawanan ini akan mengambil masa lebih lama dengan aksi sengit pada set pembukaan.

Pliskova bukan sahaja terpaksa menelan kepahitan, gelaran yang baru diraikannya akan menjadi milik Garbine Muguruza, pemain Republik Czech berusia 25 tahun ini juga perlu menunggu semusim lagi untuk mencari Grand Slam sulungnya.

Namun ini bukan kali pertama Coco melakukan kejutan di kejohanan Grand Slam. Sebelum ini, dia menumbangkan juara bertahan, Angelique Kerber di Terbuka Australia, juga ketika memegang gelaran pemain nombor 1 dunia.

Suratan atau kebetulan? Yang pasti Coco menjadikan 2017 tahun kebangkitan untuk mencipta nama setanding pemain handalan dunia.

Coco seusia dengan Pliskova tetapi agak ketinggalan dari segi pencapaian kerana aksi yang kurang konsisten. Coco sebenarnya membesar dalam keluarga ahli sukan di mana ibunya sendiri pernah beraksi di sukan Olimpik.

Namun, bagi Coco minat untuk bermain tenis masih sekadar suka-suka walaupun ketika dia sudah menyertai kejohanan besar dengan muncul juara kategori remaja di Terbuka Amerikat Syarikat dan bergelar profesional pada 2008.

Sehinggalah beberapa tahun kebelakangan ini, dia mulai sedar yang tenis bukan sekadar permainan tetapi perlukan teknik dan taktik untuk menguasai gelanggang dan menang.

Kini, selepas 3 bulan mendapat bantuan juara Wimbledon 1987, Pat Cash, siapa sangka Coco mampu berada sebaris dengan 3 lagi pemain Amerika Syarikat termasuk legenda, Venus Williams serta Sloane Stephens dan Madison Keys dalam mencipta sejarah, dominasi total separuh akhir pentas Grand Slam terakhir musim ini.

Mungkinkah akan ada lagi kejutan dari Coco selepas ini? Apa yang pasti, mara ke final sahaja sudah cukup untuk Coco memperbaiki rekod pencapaiannya tetapi jika berjaya muncul juara, ia umpama mendapat durian runtuh dan tidak mustahil kalau Coco disunting untuk membintangi rancangan realiti tv pula nanti.