Melihat sahaja jadual kerja penulis apabila ditugaskan menjadi pengulas perlawanan di antara Porto menentang Portimonense, penulis terus bersemangat dan tidak sabar-sabar mahu menanti perlawanan yang berlangsung di Stadium Do Dragao.

Ini merupakan perlawanan Liga Portugal kedua yang disiarkan secara langsung di Astro Arena. Terdahulu sewaktu Portimonense berdepan Maritimo SC pada 17 Oktober lalu, Safawi Rasid tidak disenaraikan didalam skuad utama dan hanya beraksi buat pasukan b-23. Tetapi berbeza ceritanya dalam perlawanan menentang juara Liga Juara Juara Eropah 2003/2004.

Nama anak kelahiran Dungun, Terengganu itu berada dalam skuad utama dan diletakkan di bangku simpanan.

Melihat namanya berada dalam skuad utama sahaja sudah menghadirkan keterujaan bukan sahaja buat penulis, tetapi seluruh rakyat Malaysia kerana perkara sebegini memang sangat 'rare' buat pemain bola sepak dari Malaysia.

Bagaimanapun, semua rakyat Malaysia yang bersengkang mata menyaksikan perlawanan itu pada jam 1:30 pagi sedikit hampa apabila Safawi Rasid tidak diturunkan langsung sepanjang 90 minit permainan walaupun empat pemain gantian digunakan Paulo Sergio dalam babak kedua. Mungkin belum masanya untuk Safawi diturunkan dan bukan rezeki rakyat Malaysia lagi untuk menyaksikan detik gemilang itu.

Di sebalik kekecewaan tidak dapat menyaksikan aksi Safawi, penulis melihat rata-rata netizen kali ini bersikap sedikit terbuka dan bijak dengan tidak 'menyerang' laman sosial rasmi Portimonense seperti yang pernah terjadi apabila Safawi tidak tersenarai berdepan Maritimo SC.





Dalam perlawanan Liga Portugal minggu ketujuh itu, Portimonense melakukan kejutan apabila mendahului Porto hasil gol penyerang mereka, Beto yg dibantu pemain Maghribi, Fahd Moufi.

Portimonense cemerlang berjaya mempertahankan gawang dari dibolosi hinggalah pada penghujung babak pertama apabila Chancel Mbemba bekas tonggak pertahanan Newcastle United berjaya menyamakan kedudukan menjadi satu sama.

Pemain berasal dari Iran, Mehdi Taremi berjaya meletakkan Porto di depan dengan gol pada awal separuh masa kedua. Minit-minit akhir perlawanan, Sergio Oliveira mengesahkan tiga mata menjadi milik Porto dengan gol ketiga pada minit ke 89.

Kekalahan ini menyaksikan Portimonense terjerumus ke kedudukan tercorot di liga, dengan hanya mengutip empat mata dari tujuh perlawanan setakat ini. Tiga kedudukan teratas Liga Portugal setakat ini dihuni pasukan Sporting CP, Benfica dan Sporting Braga manakala Porto berada di tangga keempat liga.

Apa apapun, buat rakyat Malaysia bertabahlah menanti debut Safawi dgn baki 27 perlawanan Primera Liga kerana penulis yakin ada hikmah di sebalik seksanya penantian kita.