Itulah topik yang sempat diborakkan bersama juara silat dunia 2016, Siti Rahmah Mohd Nasir, sewaktu kami bertemu di studio Astro Arena seminggu selepas berakhirnya Kejohanan Pencak Silat Dunia 2016 di Bali Indonesia.

Selepas dia mengatakan hasrat untuk tidak lagi menyertai Kejohanan Dunia yang seterusnya, ramai yang beranggapan Rahmah akan terus bersara dari dunia silat.

Soalan yang kerap kali ditanya kepadanya dan ingin ditekankan bahawa Juara Dunia tiga kali ini TIDAK AKAN bersara buat masa sekarang. Perlu diingatkan, masih ada misi penting yang ingin dikecapi Rahmah iaitu meraih emas Sukan Sea 2017 yang menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah serta emas Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Benar, niat untuk berhenti sertai Kejohanan Dunia itu ada, kerana dia telah berjaya capai matlamat raih kejuaraan hatrik. Namun, pesilat berumur 29 tahun ini sempat memberitahu saya, dia ada terfikir ingin menarik balik niatnya itu dan mungkin akan tetap berjuang di pentas dunia kerana Kejohanan Dunia yang seterusnya akan berlangsung di Jakarta iaitu venue sama dengan Sukan Asia 2018 nanti.

Jadi, tidak keterlaluan jika saya katakan keputusan Rahmah sebelum ini untuk berundur dari Kejohanan Dunia mungkin keputusan yang terburu-buru dan saya percaya Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia, PESAKA masih memerlukan perjuangan Rahmah.

Jika sebelum ini ramai yang mungkin hanya mengenali dua pesilat negara, Siti Rahmah dan juga Muhammad Al Jufferi Jamari. Tetapi kini, apa kata kita berikan perhatian sama pula kepada juara dunia baru, iaitu Razak Ghazali yang raih pingat emas pertamanya bagi Kelas D Putera. Mungkin pesilat ini pula yang akan turut mengulangi kejayaan hatrik Jufferi dan Rahmah nanti.

Menariknya, perjuangan Razak di Bali tempoh hari lebih manis apabila bersama-sama isterinya yang turut serta bagi kelas D Puteri, Nurul Ain Sohrab di mana dia merangkul pingat gangsa. Bukan senang ingin melihat pasangan suami isteri yang sama-sama berjuang dalam misi meraih kejayaan di pentas dunia.

Walaupun isterinya tidak berjaya hadiahkan emas buat negara, namun pasangan itu harap temasya Sukan Sea 2017 dapat berikan kenangan yang lebih indah untuk mereka buru pingat emas.

Sekali lagi, TAHNIAH buat Jufferi, Siti Rahmah dan Razak atas kejayaan bermakna buat negara di Kejohanan Dunia 2016 walaupun seminggu sudah berlalu. Masing-masing punya cerita sendiri di sebalik kejayaan mereka. Teruskan perjuangan agar sukan silat akan terus terpahat di mata dunia.