SAYA adalah penyokong Liverpool dan ini satu pengakuan terbuka – bukan mudah untuk menjadi penyokong kelab Liverpool sepanjang musim Liga Perdana Inggeris 2020/2021 kali ini!

Bayangkanlah campur baur perasaan yang hadir silih berganti, bermula dengan rasa penuh keyakinan dan gembira betapa gelaran liga yang dimiliki musim sebelumnya, pasti mampu untuk terus dipertahankan.

Apa tidaknya, tiga aksi awalnya semuanya mendokong kepercayaan itu – Leeds United, Chelsea dan Arsenal semuanya mudah ditundukkan.

Namun malang bingkas hadir bertamu secara kerap, bertimpa timpa sengsara yang menjelma, sekali gus mengundang sindiran tanpa diundang penyokong pasukan lawan yang sudah menunggu sejak sekian lama. Aduhai!

Petanda seksa menjelma di Villa Park apabila Aston Villa mencipta tragedi kekalahan 2-7 pada 4 Oktober 2020. Sebaik kembali daripada tugasan antarabangsa, giliran Everton pula menambah cerita duka apabila terjahan kasar Jordan Pickford memaksa tonggak benteng, Virgil Van Dijk, tersisih hingga penghujung musim.

Bermula detik itu, sehinggalah penghujungnya malam semalam, pengendali Liverpool, Jurgen Klopp dipaksa sentiasa bereksperimentasi mencari gandingan terbaik di benteng tengah – hinggakan 20 kombinasi ‘bidan terjun ‘pernah beraksi bersama-sama!

Musim kali ini sebenarnya ada juga lorekan sejarah baru dicipta Klopp dan pemainnya. Rekod tanpa kalah di gelanggang keramat, kini terukir pada angka 68 perlawanan, sebelum Burnley menghentikannya hasil kemenangan 1-0 pada 22 Januari 2021.

Tetapi, itulah!

Kecundang di tangan Burnley memulakan pula rentetan enam kekalahan berturut-turut di Anfield, sehinggakan ada suara-suara nakal berkata lebih baik Liverpool bertukar gelanggang ke Arena Puskas di Budapest kerana disitulah baru ‘The Reds’ tahu cara untuk menang.

But when the going gets tough, the tough gets going!

‘Football is a beautiful game based on its sheer unpredictability, the ability to bring fans together and how visually pleasing an excellent game of football can be.’

Ibarat tersedar daripada igauan mimpi ngeri, Liverpool bangkit berbekal semangat juang kental dan aksi lebih mempersona untuk mengubah haluan demi misi pemburuan tempat kekal bersama kelompok kelab elit benua Eropah.

Sepuluh perlawanan terakhir jadi bukti kebangkitan itu. Daripada kedudukan di luar tiket ke Eropah, Liverpool melepasi satu demi satu halangan dan akhirnya menjamin tempat di Liga Juara-juara Eropah dengan gapaian tangga ketiga Liga Perdana.

Siapa boleh lupa gegar tandukan Alisson Becker yang menjamin kemenangan ke atas West Brom? Itu harus jadi antara detik paling mencipta rasa teruja musim ini. Banyak lagi detik-detik dalam beberapa perlawanan terakhir yang membuatkan saya terlupa perit yang pernah dirasai pada mulanya.

Lega? Sudah tentu! Yang pasti, kehadiran 10 ribu penyokong yang ghairah bersemangat menyanyikan lagu keramat ‘You’ll Never Walk Alone’ membuktikan Liverpool akan kekal bertakhta di sanubari.

Tahniah untuk Manchester City atas kejayaan merangkul kembali gelaran Liga Perdana Inggeris. Tetapi jangan terlalu selesa kerana Liverpool pastinya akan kembali selaku pencabar terhebat musim depan.

Manchester United? I reserved my comments. Nantilah.