Peminat sukan seni bela diri campuran (MMA) di Malaysia pastinya mengenali Conor McGregor yang mempunyai kisah panas dengan Khabib Nurmagomedov dan baru-baru ini, atlit yang terkenal dengan kelantangannya itu sekali lagi mencuri tumpuan apabila menggesa negara kelahirannya menjalankan perintah darurat ekoran pandemik Covid-19.

Menariknya, kata-kata McGregor itu bukan seperti tong kosong, ia disertakan respon pantas kepada satu persetujuan untuk membantu kerajaan menerusi perbualannya bersama Menteri Kewangan Ireland, Paschal Donohue yang dikongsikan di laman twitternya.

Bantuan yang mahu disalurkan bintang UFC yang berusia 31 tahun itu adalah memperuntukkan 1 juta euro bagi menyediakan peralatan perubatan yang akan diagihkan kepada hospital-hospital di Dublin untuk merawat mangsa Covid-19.

Pengaruh McGregor juga membantu dalam mendidik masyarakat untuk memahami kepentingan 'social distancing' itu dipraktikkan selain kepentingan menjaga kebersihan diri, ketika kes positif Covid-19 semakin meningkat di Ireland dengan kini melebihi 1,300 orang.

Hospital-hospital di Sepanyol juga menerima 1 juta euro bagi membantu mangsa pandemik ini menerusi sumbangan dari seorang lagi penggiat sukan berpengaruh iaitu pengurus Manchester City, Pep Guardiola.

Bekas bintang Barcelona yang memulakan karier sebagai jurulatih bersama kelab itu, sebelum berhijrah ke Bundesliga menyertai Bayern Munich dan saingan Liga Perdana Inggeris pada 2016 bagaimanapun memilih Yayasan Angel Soler Daniel sebagai saluran sumbangannya.

Yayasan itu mempunyai pelan untuk membekalkan peralatan perubatan kepada hospital-hospital yang digunakan untuk merawat pesakit-pesakit Covid19 yang kini mencecah 3,500 kematian di negara itu, jumlah kematian kedua tertinggi selepas Itali.

Nilai 1 juta dolar amerika pula menjadi jumlah sumbangan bagi bintang tenis Switzerland, Roger Federer dan isterinya, Mirka Federer dalam membantu negara itu menghadapi Covid-19.

Juara 20 grand slam itu bagaimanapun lebih memberi tumpuan kepada institusi kekeluargaan yang memerlukan bantuan dalam menghadapi situasi sukar ini - terutama bekalan makanan, ubat-ubatan dan keperluan harian kanak-kanak seperti lampin.

Dalam kesamaan bentuk bantuan yang diberikan, ketiga-tiga individu ini juga mengharapkan lebih ramai penggiat sukan tampil menghulurkan bantuan tidak kira berapa nilainya sekali pun kerana ia bukan sahaja berperanan untuk meringankan beban kewangan yang ditanggung pihak terbabit seperti kerajaan, petugas kesihatan dan pesakit, malah menjadi inspirasi kepada ramai orang dikala menjalani perjalanan yang kelam ini.