Gol berganda Mohamadou Sumareh, pemain naturalisasi asing pertama Malaysia dari Gambia, membantu Malaysia membenam musuh tradisi, Indonesia, di Stadium Gelora Bung Karno semalam.

100,000 ribu peminat fanatik tuan rumah disenyapkan dengan tiga gol dari belakang daripada Sumareh minit ke-36 dan di saat terakhir sebelum wisel penamat dibunyikan, serta sumbangan Syafiq Ahmad, 21 minit selepas babak kedua dimulakan.

Pengendali, Tan Cheng Hoe, mengambil keputusan bijak memasukkan Sumareh dan dia memberi impak paling besar bukan sahaja untuk peluang Harimau Malaya layak ke Piala Dunia 2020/Piala Asia 2023, tetapi menyelamatkan maruah Malaysia, yang kali terakhir menang di tempat lawan 15 tahun lalu.

Sumareh membuktikan gelaran 'Budak Keli' cukup tepat setelah menunjukkan pergerakan dan kelincahannya di atas padang yang mengelirukan pertahanan Skuad Garuda.


Berhijrah ke Malaysia sebagai seorang pelajar berusia 13 tahun di Sekolah Antarabangsa Maz, dan selepas itu Kolej Segi, nyata bola sepak negara bernasib baik dengan kemunculan anak muda berusia 27 tahun itu, yang turut menunjukkan perwatakan baik di dalam dan di luar gelanggang.

Dua gol daripada pemain kelahiran Brazil, Beto Goncalves, tidak dapat diraikan Indonesia kali ini, apabila sokongan ratusan peminat Malaysia di stadium dan berjuta di Malaysia dapat dirasai pasukan negara, yang berjaya menghabiskan aksi pertama Kumpulan G dengan kemenangan bermakna 3-2.

Balingan batu dan botol serta provokasi daripada segelintir penyokong Indonesia juga gagal mematikan semangat berkobar-kobar pasukan Harimau Malaya, yang akan bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE), 10 September ini.

Sekali lagi tahniah Malaysia dan terima kasih Mohamadou Sumareh!