Kegagalan mengurus tadbir dengan baik, terutama dalam perancangan dan hala tuju sesebuah kelab, pasti akan mengudang masalah.

Ini yang berlaku dalam kancah bola sepak negara apabila pemimpin gagal merancang dengan baik, akhirnya persatuan atau kelab yang mereka tadbir menghadapi masalah.

Dan apabila menghadapi masalah, jalan pintas dengan melakukan gertakan undur, akan diambil.

Itulah mentaliti segelintir pemimpin bola sepak dalam negara, yang tidak bijak memikirkan bagaimana untuk keluar daripada mentaliti subsidi dan hanya ingin bergantung kepada dana kerajaan.

Tidak fpula ikir bagaimana untuk mencari kewangan sendiri sedangkan peluang-peluang untuk mencari penaja di luar begitu banyak sekali, terutama di Lembah Kelang.

Kenapa ini sentiasa berlaku?

Apa yang pasti kerana majoriti yang mentadbir sesebuah organisasi sukan itu adalah ahli-ahli politik, bukan daripada golongan orang koporat.

Apabila semua ini berlaku, peluang untuk menonjolkan diri dalam media untuk meminta simpati bagi tujuan ‘mileage’ mereka itu lebih mudah.

Kasihanlah pada bola sepak negara yang pada ketika ini berada pada tahap yang kritikal. Ubahlah cara berfikir sebagaimana mereka menyuruh pemain-pemain untuk berubah cara berfikiran mereka.

Dengan terjadi perkara ugut-mengugut ini untuk keluar daripada liga sebenarnya akan membocorkan sendiri bagaimana sikap mereka bekerja walhal yang berada di dalam organisasi bola sepak ini kebanyakan adalah dari golongan bijak pandai.

Gunalah akal yang diberi sebaiknya untuk merencana dan tunjukkan kredibiliti sebagai seorang pemimpin.

Budaya meminta simpati dan perhatian ini sudah lapuk kerana majoriti peminat bola sepak ini adalah orang bijak.

Buanglah sejauh-jauhnya pemikiran begitu supaya ibu-bapa dan generasi akan datang tidak takut untuk menjadikan bola sepak ini suatu kerjaya yang boleh menjamin masa depan mereka dan malulah dengan rakan-rakan di negara jiran kita.

Ingatlah bola sepak ini mengajar kita bagaimana untuk menyelesaikan masalah tetapi bukan memberi masalah.