Liga Malaysia akan diangkat dengan status profesional bermakna setiap pasukan akan berdiri diatas kaki sendiri seperti mana-mana kelab bola sepak di dunia dan bukan lagi bernaung di bawah kerajaan negeri.
Namun sudah bersediakah kita untuk ke arah itu?

Baru-baru ini sekali lagi kita disogokkan dengan isu gaji pemain yang tertangguh.

Barisan pemain Kelantan terpaksa mengharungi saingan Piala Malaysia tanpa menerima gaji bulanan mereka yang dikhabarkan sedang diusahakan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA). Antara sebab terjadinya masalah ini adalah bayaran gaji pemain yang dikatakan terlalu tinggi. Ini bukan kejutan kerana sebelum ini, pernah didedahkan 10 pemain termahal Malaysia dan beberapa pemain Kelantan turut tersenarai.

Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat dianggarkan menerima gaji bulanan sehingga RM100, 000. Kapten pasukan, Badhri Radzi menerima kira-kira RM50, 000 sebulan. Sementara Nor Farhan Muhammad dianggarkan mempunyai pendapatan sekitar RM40, 000 sebulan selepas kembali ke Kelantan musim ini. Apapun pandangan orang ramai, pastinya pengurusan The Red Warriors mempunyai sebab mereka tersendiri agar tidak kehilangan khidmat pemain yang bernilai kepada pasukan.

Kelantan antara pasukan yang mempunyai penyokong paling ramai di Malaysia. Maka tidak hairanlah tiket perlawanan yang membabitkan pasukan ini dijual macam pisang goreng panas. Sedar atau tidak sebenarnya kehadiran penyokong ke stadium menjadi penyumbang utama pendapatan sesebuah kelab. Nah, sepatutnya Kelantan sudah selamat daripada satu aspek. Namun menurut KAFA mereka tidak mendapat pembayaran yang adil daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada final Piala FA 2015 dimana kita boleh lihat Stadium Nasional Bukit Jalil dibanjiri penyokong pasukan pantai timur ini ketika aksi menentang pasukan negara jiran, Lions XII.

Bagaimana pula pendapatan yang diraih menerusi penyiaran televisyen? Jika di saingan La Liga, kelab-kelab di Sepanyol menentukan sendiri kontrak mereka bersama pihak televisyen dan pasukan teratas mendapat manfaat yang lebih kerana ratio yang digunakan adalah 10 : 1. Maka tidak hairanlah Real Madrid menjadi pasukan paling kaya di dunia selain pendapatan lain yang turut rancak dijana. Namun ia dijangka akan diubah kepada sistem “collective bargaining” tidak lama lagi seperti yang digunakan kebanyakan liga eropah lain misalnya liga perdana inggeris yang dilihat lebih seimbang dengan ratio 1.5 : 1 dimana ia turut memberi peluang kepada pasukan bawahan untuk merancang kebangkitan mereka.

Bola sepak juga kini tidak lagi hanya sebagai minat mahupun hobi. Bola sepak kini lebih kepada perniagaan yang menguntungkan. Kelantan dilihat antara yang mempunya jersi pasukan yang digunakan sebaik mungkin untuk tujuan pengiklanan. Setiap sudut jersi.. dibahu kiri dan kanan, dibahagian hadapan, mahupun belakang terdapat pelbagai logo pengiklan dan ini adalah usaha yang baik oleh pihak pengurusan. Namun pasti banyak lagi cara yang boleh difikirkan untuk mendatangkan pendapatan kepada pasukan. Apatah lagi pasukan yang mempunyai pemain dengan nilai komersil yang tinggi.

Bagaimana pula peranan para penyokong? Selain kehadiran ke stadium mahupun penyumbang kepada rating siaran televisyen, hobi mengumpul cenderamata pasukan boleh membantu menjana pendapatan. Apakah jersi original menjadi pilihan atau pun cukup sekadar mendapatkan yang berkualiti hampir sama? Namun tidak kurang juga yang tertipu, sangkakan jersi yang dijual di perkarangan stadium adalah original namun rupa-rupanya ia langsung tidak membantu pasukan kesayangan mereka. Kadang-kala penjualan secara online juga mengelirukan penyokong, tidak pasti siapa pengedar rasmi cenderamata tersebut.

Apa pun yang berlaku dalam Liga Malaysia, keterbukaan kita terhadap bola sepak sudah semakin baik. Masih ada masa lagi untuk menambah apa yang kurang, memperbaiki setiap yang lemah dan merancang cara memantapkan lagi pasukan menjelang penswastaan liga tahun hadapan. Sebagai penyokong pula, jadikan budaya ke stadium satu aktiviti yang sihat. Kepada yang selama ini setia mengekori pasukan kesayangan masing-masing, tahniah diucapkan. Andalah tulang belakang kejayaan pasukan.