Bukannya aku tak tahu; kau sudah buat kecewa; saat kau bisikkan juara; ku tahu engkau berdusta…

Bait-bait yang diubahsuai daripada lagu Agnes Monica ini harus amat bertepatan buat Leicester City yang bangkit daripada krisis dalaman untuk menceroboh masuk ke kelompok lapan terakhir dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL), awal pagi tadi.

Benarlah, bola sepak kadang-kadang tak ada logika.

Leicester City membuat satu entri baru dalam senarai kejayaan tidak berkemungkinan mereka dengan satu kemenangan agregat 3-2 yang menakjubkan ke atas Sevilla untuk mereka meraih hak menghadiri undian pusingan suku akhir UCL di Ibu Pejabat UEFA di Nyon, Switzerland pada Jumaat ini (11:00 GMT).

Kelab yang menidakkan logik ini ketika menjuarai Liga Perdana Inggeris buat julung kalinya musim lalu, telah melakukan keajaiban sekali lagi dengan menerbalikkan kelebihan 2-1 lawan dari LaLiga itu dalam pertemuan pertama lalu – mencetuskan satu atmosfera keghairahan dan emosi di Stadium King Power yang mengembalikan ingatan kepada kejayaan pada penghujung musim Liga Perdana lalu.

Ia harus lebih luar biasa dengan hakikat bahawa hanya tiga minggu lalu, selepas pertemuan pertama pusingan 16 di Sevilla itu, Leicester memecat Claudio Ranieri -- jurulatih berusia 65 tahun dari Rome yang merencanakan keajaiban mereka musim lalu – kerana berdepan bahaya diturunkan ke Liga Kejuaraan.

Ketika mereka tewas 2-0 di Swansea yang turut bergelut dengan penyingkiran pada 12 Februari lalu – satu kekalahan yang memalangkan nasib Ranieri – The Foxes berada di tangga ke-17 dengan 21 mata daripada 25 perlawanan Liga Perdana dan sedang melakukan ‘terjunan bebas’.

Pemilik-pemilik Thai kelab itu memerlukan seseorang untuk mengembalikan elemen yang kehilangan selama sembilan bulan ini, terutama untuk memastikan dapat kekal dalam Liga Perdana – dengan sebarang keputusan baik dalam UCL dianggap bonus.

Mereka mengalihkan perhatian kepada Craig Shakespeare, yang bersama-sama Nigel Pearson, membantu Ranieri musim lalu.

Hampir serta-merta, putaran jam seakan-akan dipusing ke belakang, dengan Shakespeare mengembalikan Leicester kepada pasukan yang asal.

Di bawah tanggungjawab Shakespeare, The Foxes menang tiga daripada tiga, dengan kemenangan ke atas Liverpool dan Hull meredakan keimbangan relegasi tetapi kemenangan ke atas Sevilla ini adalah manifestasi keberkesanannya.

Pendekatan Shakespeare adalah mudah tapi spesifik, namun hasilnya Leicester telah kembali kepada apa yang mereka mampu lakukan dengan terbaik dan apa yang paling tidak disukai pasukan lawan.

Dia secara efektifnya mengembalikan Leicester persis sang juara, dengan Wilfred Ndidi mengisi kekosongan N'Golo Kante, dan mengarahkan mereka bermain dengan intensiti tinggi bercorak serangan balas – memanfaatkan sepenuhnya kepantasan Jamie Vardy dan kreativiti Riyad Mahrez.

Ia satu langkah yang memberikan pemain-pemain keyakinan diri semula, begitu juga penyokong, seumpama satu ombak besar yang mengubah wajah pasukan.

Berselang hanya beberapa minggu selepas pemecatan Ranieri, The Foxes telah berganjak daripada sengsara kepada satu lagi keajaiban sambil Sevilla – pasukan yang sangat dipandang tinggi, tangga ketiga dalam LaLiga kini dan juara Liga Europa tiga musim berturut-turut – ditunjukkan pintu keluar dalam arus keghairahan dan emosi di Stadium King Power.

Sengsara dalam bulan-bulan awal musim ini, apabila Leicester jauh lebih hambar daripada pasukan musim lalu, seakan-akan serta-merta dilupakan.

Sejurus pengadil Itali, Daniele Orsato, meniupkan wisel penamat awal pagi tadi, Stadium King Power diselubungi satu senario yang hanya pernah disaksikan pada Mei tahun lalu ketika Leicester menjulang trofi Liga Perdana – sesuatu yang tidak mungkin dapat dibayangkan ketika Ranieri dipecat 23 Februari lalu.

Sambil penyokong Leicester bernyanyi-nyanyi dan menari-nari selepas perlawanan, mereka terbayangkan apa yang tidak berkemungkinan – berada sebaris dengan Real Madrid, Barcelona, Bayern Munich, Borussia Dortmund, Juventus, Manchester City/Monaco dan Atletico Madrid/Bayer Leverkusen dalam kalangan lapan terbaik di Eropah.

Korus: Bola ini kadang-kadang tak ada logika; ilusi sebuah hasrat dalam hati; ku hanya ingin dapat memiliki; trofimu hanya untuk sesaat…