Setiap kali memanggil pemain-pemain B-19 tahun untuk diuji dalam sesi pemilihan pertama Skuad Kebangsaan akan terdengarlah kenyataan-kenyataan yang bernada sinis dikeluarkan oleh ketua jurulatih bawah 19 tahun negara Bojan Hodak terhadap kualiti pemain yang tidak mencapai tahap yang diinginkan.

Ini satu tamparan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pemegang taruh secara keseluruhannya kerana kenyataan itu seolah-olah menidakkan usaha yang dilakukan FAM dan pemegang taruh yang lain sebelum ini dalam menjalankan program-program akar umbi dan melahirkan jurulatih tempatan berkualiti sedangkan FAM itu majikannya.

Apakah kenyataan itu langkah pertama menyelamatkan kerjayanya sekiranya tiada keputusan yang baik nanti dalam kejohanan yang mendatang atau sebaliknya? Itulah persepsi yang bermain di fikiran dalam kalangan pencinta-pencinta bola sepak negara. Sekiranya FAM dan pemegang taruh serta jurulatih tempatan tidak menjalankan tugas dengan baik, maka tidaklah skuad Malaysia B-19 dan Malaysia B-23 layak ke pusingan akhir Piala AFC secara merit pada edisi yang lalu.

Jangan lupa juga pasukan Malaysia B-17 tahun kendalian S.Balacandran 2014 dan P.Somasundram 2016 hampir layak ke Piala Dunia Remaja pada ketika itu dan kini pemain-pemain didikan mereka itu bersama Skuad B-23 Malaysia.

Memang benar ada sedikit kelompongan yang berlaku di peringkat akar umbi, namun janganlah mengeluarkan kenyataan yang boleh disalahertikan oleh segelintir pihak tertentu yang boleh mengundang kontroversi dan persepsi yang tidak mendatangkan faedah kepada semua sedangkan perubahan sedang dilakukan oleh FAM dalam mencapai misi F:30 yang dirancang. FAM juga perlu banyakkan pertandingan diperingkat akar umbi dan simposium untuk jurulatih akar umbi supaya kenyataan-kenyataan begini tidak lagi terkeluar. Ini perlu diambil iktibar oleh FAM dalam memacu kejayaan bersama transfomasi serta revolusi mereka. Selamat maju jaya kepada Bojan dan semua jurulatih-jurulatih yang membimbing pemain-pemain remaja di Malaysia.