Bagaikan sudah jadi kelaziman, ia dilihat sesuatu yang akan berlaku secara berkala dengan matlamat akan ada yang jadi ‘korban’. Cuma, sejauh ini, tiada tindakan seumpamanya yang berjaya.

Seperti cerita budak kecil yang berteriak “serigala”, ia hanya menjadi tindakan sia-sia kerana pada penghujungnya, tiada mana-mana individu yang lebih besar daripada Manchester United sebagai sebuah kelab.


TAK BERGANJAK... Solskjaer dan Glazer bersaudara masih berkuasa di Manchester United

Terbaru, penyokong Man United mahu menganjurkan tindakan keluar beramai-ramai dari Old Trafford ketika berlangsungnya perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan Wolves, 1 Februari ini, sebagai menunjukkan kemarahan kepada pemilik kelab, keluarga Glazer dari Amerika Syarikat, dan naib pengerusi eksekutif, Ed Woodward.

Laporan akhbar The Mirror menyebut tindakan keluar beramai-ramai itu dirancang pada minit ke-58 perlawanan berkenaan sebagai memperingati nahas udara Munich pada 1958.

United ketika ini masih tersangkut di tangga kelima, dengan kekalahan terbaru 0-2 kepada Burnley di Old Trafford, awal pagi Khamis lalu, dianggap mengaibkan.

Malah, bayangan awal sudah ditunjukkan penyokong dalam perlawanan itu lagi apabila mereka bersorak menuntut keluarga Glazer berundur daripada kelab itu, yang disusuli sebahagian mereka meninggalkan stadium lima minit sebelum wisel penamat.

“Ini amat mengaibkan,” kata legenda kelab dan pengulas BT Sport, Rio Ferdinand. “Penyokong sudah mula keluar selepas 84 minit. Pihak atasan di kelab hendaklah melihat (isyarat) ini untuk benar-benar membuat perubahan.”

Dalam pada itu, ia bukanlah satu tindakan yang mendapat sokongan penyokong United keseluruhannya di samping wujud rasa tidak yakin gara-gara tindakan seumpama itu sebelumnya tidak mendatangkan hasil.


SERUAN LANTANG... penyokong menyatakan hasrat mereka agar keluarga Glazer berundur

Harus lebih mudah untuk pengurus dipecat pasca era Sir Alex Ferguson sehingga 2013 – seperti dialami David Moyes, Louis Van Gaal dan Jose Mourinho – daripada menukar pemilik kelab dan ketua eksekutif yang dipercayainya.

Hanya pada Mei tahun lalu, penyokong United memulakan gerakan untuk memboikot kelab itu melalui Twitter selepas The Red Devils menamatkan musim di luar kelompok empat teratas di bawah pengendalian Ole Gunnar Solskjaer.

Menggunakan tanda pagar #UnfollowManUnited, seorang yang menamakan dirinya 'The Man Utd Way' memulakan gerakan itu dengan seruan: “Kami bukan satu eksperimen media sosial. Kami juga bukan sebuah agensi pengiklanan.

“Kami mahu melihat kembalinya sebuah kelab bola sepak sebagaimana sebelumnya. Dan jika pelancong tidak berhenti mengunjungi Old Trafford, perdengarkan suara anda di sini. #UnfollowManUnited.”

Namun, daripada kira-kira 19.2 juta peminat yang mengikuti kelab itu di Twitter, dilaporkan hanya 75,000 penyokong – atau kapasiti penuh Old Trafford – yang menyokong kempen itu.

Hasilnya? Kita pun semua tahu bahawa keluarga Glazer, Woodward dan Solskjaer masih berkuasa di kelab itu.

Kemudian, sebaru Julai tahun lalu, timbul pula satu kempen baru untuk penyokong memboikot saluran televisyen MUTV – sekali lagi sebagai tanda protes terhadap keluarga Glazer -- dengan menafikan kelab itu pendapatan tambahan daripada saluran tv berbayar.

Tidak perlu pun diperincikan lebih lanjut, ia juga gagal mengubah apa-apa.

Barangkali mereka harus mencontohi penyokong United di Malaysia yang terus menyokong The Red Devils baik di masa susah mahupun di masa senang di samping tidak mudah ‘koyak’ seperti sesetengah penyokong pasukan lain.