Tak cukup 90 minit dan tambahan masa kecederaan, Paris St Germain dan Marseille sambung ‘perlawanan’ di luar padang dengan isu perkauman yang tak masuk akal bila memikirkan lagi 3 bulan kita akan melangkah ke tahun 2021 dengan pandemik Covid-19 masih berleluasa.

Bintang Brazil, Neymar antara 5 pemain yang dilayangkan kad merah dalam insiden pergaduhan barisan pemain PSG dan Marseille pada lewat permainan, terus ‘berjuang’ menerusi laman sosial peribadinya selepas tidak mendapat perhatian pengadil.

Neymar berkata dia bertindak memukul belakang kepala Alvaro Gonzalez seperti yang dapat dilihat dalam rakaman VAR kerana berang dengan bek Marseille itu yang mengejeknya ‘monyet’ atau lebih tepat ‘monkey son of a b****’.

Dakwaan Neymar itu disokong oleh beberapa pihak termasuk pakar bola sepak Perancis, Jonathan Johnson yang disiarkan givemesport.com dimana laman web itu turut berkongsi terjemahan ciapan Neymar yang mendapat ribuan likes dan retweet.

Jika terbukti benar, Gonzalez bakal berdepan hukuman serius dimana pihak pengurusan PSG sudah memaklumkan akan memberikan sokongan penuh kepada Neymar dalam siasatan berkaitan racism yang bakal dimulakan badan bola sepak negara itu tak lama lagi.

Tetapi sebelum dibuktikan bersalah, Gonzalez sudah pun mula menerima ‘hukuman’.

Beberapa jam selepas insiden ini berlaku, nombor telefon peribadi Gonzalez dibocorkan secara maya.

Gonzalez kemudiannya menerima pelbagai ugutan, termasuk ugutan bunuh yang dipercayai dibuat oleh seseorang yang menggunakan nombor telefon yang didaftarkan di Brazil.

Media Perancis tidak dapat mengesahkan sejauh mana ugutan ini dibuat atau tindakan yang diambil Gonzalez bagi melindungi dirinya dan keluarga.

Namun Marseille juga tidak mahu ketinggalan dalam memberikan sokongan jitu kepada pemain berusia 30 tahun itu yang pada awalnya bersama pasukan secara pinjaman pada 2019.

Menerusi satu kenyataan, pengurusan Marseille menegaskan Gonzalo bukan seorang yang rasis dan memiliki keperibadian yang baik, dan perkara ini disahkan rakan sepasukan.

Maka, Marseille akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada jawatankuasa disiplin dalam siasatan ke atas insiden yang berlaku di atas padang atau yang menyusul selepas itu.

Ini baru perlawanan kedua musim buat Marseile dan PSG, dan isu racism ini mungkin mengganggu momentum baik kem Marseille yang dipimpin Andre Villas-Boas tapi ia juga tidak membantu PSG yang mahu mempertahankan kejuaraan apabila menghuni zon penyingkiran ketika ini, hasil badi tewas di final Liga Juara Juara Eropah akhir musim lalu.

Tapi racism memang takde tempat dalam sukan.

Dalam dunia serba moden sekarang ini pun sepatutnya dah tak perlu wujud apa-apa yang boleh merendahkan mana-mana kaum, bangsa, warna kulit mahu pun jantina.