Sam Allardyce atau lebih dikenali sebagai "Big Sam" merupakan pengendali yang pakar memastikan kelab kendaliannya mengelak daripada penyingkiran.

Bekas pengendali Bolton Wanderes itu sedang berusaha untuk membina reputasinya yang tercalar apabila dipecat oleh Persatuan Bola Sepak England (FA) pada 27 September 2016 selepas didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengaut keuntungan dan memberikan nasihat untuk mengelak daripada undang-undang perpindahan pemain yang ditetapkan FA.

Pada Disember 2016, Alan Pardew dipecat sebagai pengurus Crystal Palace selepas kelab berkenaan hanya berada satu tangga di atas zon penyingkiran, dan melantik Allardyce untuk mengambil alih tugas tersebut.

Beliau melakukan eksperimen di dalam pasukan pada dua bulan pertama bagi mengenal pasti apa yang harus dilakukan bagi meningkatkan mutu permainan pasukan.

Hasilnya, The Eagles mempamerkan permainan yang mantap bermula pada Mac selepas berjaya melakar empat kemenangan dalam lima perlawanan, termasuk menewaskan dua gergasi EPL, Chelsea (2-1) di Stamford Bridge dan Arsenal (3-0).

Kini Palace menduduki tangga ke-16 dan memiliki kelebihan enam mata di atas kelompok tiga terbawah liga di kala saingan berbaki tujuh perlawanan.

Kedudukan skuad kendalian Allardyce masih lagi tidak selamat dengan pertemuan berdepan Tottenham, Liverpool dan Manchester City menanti mereka.

Bagaimanapun, tahap keyakinan mereka ternyata sedang menggunung selepas berjaya menumbangkan dua kelab gergasi di England.

Ini bukanlah sesuatu yang baru buat Allardyce kerana pada Disember 2008, beliau mengambil alih tugas Paul Ince sebagai pengurus Blackburn yang menduduki tangga ke-19 sebelum melonjak empat anak tangga.

Pada Oktober 2015, Allardyce dibawa ke Sunderland bagi membantu kelab itu mengelak daripada penyingkiran. Selepas lapan perlawanan, The Black Cats menghuni tangga ke-19 dan memungut tiga mata.

Pemilihan tepat Allardyce membawa masuk pertahanan Lamine Kome dan Jan Kirchhoff pada Januari membantu mereka menghuni tangga ke-17, sekaligus menyingkirkan Newcastle United.

Walaupun tidak berpeluang untuk mengendalikan pasukan-pasukan elit di England, ternyata sumbangannya memberikan saingan yang menarik dalam kelompok bawah Liga Perdana Inggeris.