Kehangatan saingan peringkat suku akhir Piala Malaysia sudah dirasa.

Ada yang menjangkakan persaingan kali ini begitu hebat di mana ia ibarat perlawanan balas dendam, antaranya pertemuan di antara Selangor dan Kedah yang ibarat perlawanan ulangan perlawanan akhir tahun lalu.

Bukan itu sahaja, pertemuan dua kelab juga menjadi perhatian peminat-peminat di antara PKNP FC dan Felda United FC.

Tetapi lebih hebat ialah pemilihan presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dalam Kongres Agung Tahunan Ke-63 pada Ahad ini yang akan ditentukan oleh 52 perwakilan persatuan bola sepak jajahan (PBJ) Kelantan.

Pertemuan satu lawan satu di antara penyandang naib presiden KAFA, Datuk Mohamad Nasir Hamzah, dan Bibi Ramjani Ilias Khan, seorang usahawan terkenal di Kelantan untuk jawatan presiden -- ini satu perebutan yang menarik untuk diperhatikan.

Sekiranya Bibi Ramjani memenanginya, beliau akan mencipta sejarah dalam bola sepak negara apabila seorang wanita buat pertama kalinya mentadbir sebuah persatuan bola sepak negeri di Malaysia.

Bagi penulis, ia satu persaingan yang sihat di mana kedua-dua calon ini mempunyai kredibiliti dan keupayaan serta mempunyai pengalaman tersendiri dalam urus tadbir pengurusan kerana kedua-duanya berpengalaman dalam urusan pentadbiran dunia korporat.

Umum tahu kebelakangan ini KAFA mengalami satu pengalaman yang di luar jangkaan ramai peminatnya apabila mengalami masalah kewangan.

Ia telah menjejaskan sedikit nama baik dan reputasi KAFA sehingga menjatuhkan pretasi skuad The Red Warriors yang gagal menunjukkan permainan terbaik dalam saingan Liga Malaysia apabila fokus pemain-pemain terhadap perlawanan terganggu disebabkan oleh kelewatan membayar gaji.

Ini satu tugas yang mencabar kepada kedua-dua calon.

Sudah tentulah tumpuan peminat TRW ialah untuk melihat presiden KAFA yang baharu ini mampu untuk membentangkan kertas kerja dalam perancangan untuk memulihkan kembali kewangan KAFA dan menaikkan kembali imej skuad TRW.

Apa yang penulis harapkan ialah perwakilan dapat melihat dan memberi peluang kepada Bibi Ramjani untuk mengetuai KAFA kerana penulis benar-benar ingin melihat perubahan yang bakal dibawa oleh seorang usahawan ini dalam dunia bola sepak Kelantan.

Penulis yakin dengan keberanian dan wawasan yang ada pada wanita gagah ini setelah memberanikan diri untuk menjadi presiden KAFA.

Mementingkan program pembangunan akar umbi dan keseluruhan pembagunan skuad TRW itu mencerminkan beliau mampu untuk memimpin dengan baik.

Sama-samalah kita tunggu kongres Ahad ini untuk melihat kebijaksanaan perwakilan PBJ menentukan siapakah pemimpin yang mampu mengangkat kembali martabat KAFA.